Melaka United nafi dibeli oleh syarikat asing

Hafizuddin Omar Hafizuddin Omar

Semalam, telah tular di internet tentang seorang individu dikenali sebagai Erik Alonso telah memuat naik satu posting di laman Linkedin mengatakan beliau telah memiliki saham majoriti pasukan Melaka United.

Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA) menerusi Setiausaha Agung, Farhan Ibrahim pantas menafikan perkara tersebut menerusi satu muat naik di laman sosial MUSA, pada malam tadi.

Assalamualaikum, salam hormat, Salam Melaka Berwibawa, Pintar, Hijau, Bersih.Saya terpanggil untuk menjelaskan isu…

Posted by Melaka United Soccer Association – MUSA on Tuesday, October 8, 2019

 

Beliau dipetik berkata, “Untuk makluman semua pihak, Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA) tidak pernah menerima sebarang cadangan daripada pihak ketiga untuk membeli kepentingan di dalam MUSA.

“MUSA adalah satu persatuan yang dipilih melalui kongres dan tidak mempunyai sebarang saham untuk diniagakan sekaligus perkara ini adalah sesuatu yang mustahil untuk berlaku.”

MUSA dengan ini menafikan sekeras-kerasnyanya kewujudan pemilik baru persatuan ini.”

Manakala, tinjauan kami di laman Linkedin, individu yang dikenali sebagai Erik Alonso telah memadam status awalnya yang menyatakan beliau sebagai pemiliki baharu skuad Hang Tuah itu.

Pada masa yang sama, satu status baru menyatakan akaunnya itu telah digodam pada tengah hari, semalam.

Sementara itu, dalam kenyataan yang sama, Farhan Ibrahim turut menyatakan skuad Melaka United sememangnya sedang menjalankan usaha untuk menswatakan pasukan bola sepaknya. Tetapi bukan keseluruhan persatuan bola sepak negeri itu. 

“Kita sedang menuju ke arah penswastaan pasukan dengan berusaha menyelesaikan segala komitmen yang perlu sebelum pasukan Liga Super Melaka United diswastakan selaras dengan matlamat yang ditetapkan pihak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

“Sehubungan itu pihak persatuan akan terus memberi fokus kepada pembangunan bakat bolasepak negeri Melaka dan hanya pasukan Liga Super yang akan diswastakan kelak.”

Foto: MUSA

Comments