Sathianathan : Kecederaan Rufino Segovia punca Endrick Dos Santos tidak disingkir

Muhammad Aiman Muhammad Aiman

Ketua jurulatih Selangor, B.Sathianathan mengakui gembira dengan sumbangan pemain tengah import Endrick Dos Santos yang menjadi tonggak penting Red Giants musim ini.

Tetapi Sathianathan mendedahkan betapa dia hampir membuat keputusan menyingkirkan pemain itu ketika jendela perpindahan kedua Liga Malaysia pada bulan Mei lalu.

Ini kerana pemain dari Brazil itu bukan sahaja bermain tidak menepati ekspetasi, tetapi turut mengalami kecederaan misteri dan tersisih lama sehingga menganggu perancangan Sathianathan, di mana pada ketika itu juga Selangor sedang melalui permulaan musim yang agak suram.

Malah jika ada yang masih ingat, pernah pada satu ketika, Sathianathan dengan sinis memberitahu hanya Tuhan yang tahu apa  sebenarnya kecederaan yang dialami oleh Endrick Dos Santos, ketika diajukan soalan mengenai perkembangan kecederaannya dan bila dia akan kembali diturunkan.

Dengan satu pertukaran import sudah dibuat lebih awal apabila dia membawa masuk Sandro Da Silva untuk menggantikan Antonio German manakala penyerang utama, Rufino Segovia turut tersisih akibat kecederaan, Sathianathan terpaksa berhati-hati di dalam membuat keputusan, dia tidak boleh menyisihkan dua pemain sekaligus yang akan memberi kesan kepada kantung pasukan.

Justeru dia memilih untuk mengekalkan Endrick yang dijangka pulih pada bila-bila masa manakala Rufino Segovia pula kekal tetapi namanya dikeluarkan daripada senarai pendaftaran pemain.

Sekembalinya daripada kecederaan, Endrick Dos Santos menjadi salah seorang tonggak penting memacu Selangor menamatkan musim di kedudukan ketiga Liga Super dan terbaru mara ke separuh akhir Piala Malaysia.

Bercakap kepada Labola Malaya, Sathianathan berkata, “Saya akui geram dan terlalu kecewa dengan prestasi Endrick pada awal musim sehingga terfikir untuk menggugurkannya daripada pasukan dan mencari pemain import lain untuk mengisi tempatnya.

“Tetapi perancangan itu terpaksa dibatalkan bila Rufino gagal pulih daripada kecederaan sebagaimana dijangka menyebabkan saya terpaksa menggantikannya dengan Ifedayo (Olusegun). Saya boleh katakan Endrick terselamat kerana Rufino cedera, kalau tidak saya sudah ketepikan dia.

“Tapi, sesuatu yang bagus, dia memberi tindak balas positif selepas itu. Saya panggil dia, luahkan rasa kecewa saya dan beri kata dua kepadanya dan dia menyahut cabaran saya. Hari ini, Endrick adalah pemain penting Selangor.

“Dia menyertai Selangor atas pilihan saya sendiri selepas saya tertarik dengan prestasinya ketika bersama pasukan FELCRA FC dan sekarang dia membuktikan saya membuat pilihan tepat,” kata Sathianathan.

Foto : Ihsan Google

Comments