6 sebab mengapa penggabungan FAS & PKNS FC adalah jalan terbaik

Hafizuddin Omar Hafizuddin Omar

Hasrat untuk menggabungkan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dan Kelab Bolasepak Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS FC) menimbulkan banyak perdebatan ramai.

Ada yang bersetuju dengannya dan tidak kurang ramai juga yang meluahkan pendapat tidak bersetuju dengan penggabungan ini.

Bagaimanapun, menerusi satu kenyataan rasmi oleh FAS pada hari ini, mereka telah menyenaraikan enam sebab mengapa penggabungan di antara kedua-dua pasukan ini merupakan jalan terbaik buat masa depan bola sepak Selangor;

#1 Tanggungjawab Kewangan

Dianggarkan sebanyak RM44 juta ringgit telah dibelanjakan oleh tiga kelab di Selangor untuk musim 2019 (FA Selangor, PKNS FC, Selangor United). Jumlah ini adalah lebih tinggi dari mana-mana pasukan di kancah Liga Super Malaysia. 

Bagaimanapun, prestasi ketiga-tiga pasukan ini tidak memberangsangkan. Hanya pasukan FA Selangor berjaya mencapai kedudukan tempat tiga teratas dalam Liga Super dan kini bermain di peringkat Separuh Akhir Piala Malaysia, dalam tahun pertama di bawah kepimpinan Tuanku Presiden. Daripada membahagikan dana kepada tiga pasukan, ia adalah langkah yang lebih bertanggungjawab dan menjimatkan dari segi kewangan jika pihak kerajaan negeri menggabungkannya dan memberikan dana tersebut kepada satu pasukan sahaja. 

Dianggarkan sebanyak RM16 juta dapat dijimatkan jika penggabungan ini dilaksanakan. Jika separuh dari jumlah penjimatan ini adalah dari dana kerajaan (dan selebihnya adalah dari penajaan korporat), sebanyak RM8 juta akan berjaya dijimatkan dari kantung kewangan kerajaan negeri. Jumlah RM8 juta ini boleh disalurkan untuk membiayai pelbagai program pendidikan, kesihatan dan pembangunan lain yang mampu dinikmati oleh ribuan rakyat Selangor.

 

#2 Mengembalikan fokus setiap organisasi kepada tujuan asal

Dalam mengharungi waktu-waktu mencabar ini, ia amatlah mustahak bagi setiap organisasi termasuklah syarikat-syarikat kerajaan negeri untuk memberi penekanan kepada tujuan asal dan objektif penubuhan mereka. Demi memberikan impak yang lebih menyeluruh kepada rakyat Selangor, FA Selangor dan PKNS adalah dua entiti yang perlu mempergiatkan aktiviti yang selari dengan tujuan asal penubuhan.

 

#3 Peluang lebih tinggi untuk mendapatkan rakan penaja 

Dengan penggabungan ini, pasukan bola sepak negeri Selangor bakal mempunyai peluang yang lebih baik untuk menambahkan rakan korporat dan penaja. Hasil penggabungan ini bakal menyaksikan jumlah penyokong yang lebih besar, pertambahan aset untuk diniaga dan diiklankan serta kumpulan sasaran penaja yang lebih meluas. Penggabungan ini juga akan mengurangkan perebutan mendapatkan penaja dan rakan niaga sesama sendiri. Seperti yang kita sedia maklum, kini semakin sukar untuk menarik pihak penaja bagi menaja sebuah kelab sukan, terutamanya di dalam sukan bola sepak.

 

#4 Pembangunan bola sepak yang berstruktur dan seragam 

Pada masa kini, terdapat pelbagai program pembangunan bola sepak di Selangor yang dijalankan secara berasingan. Laluan bagi anak-anak muda untuk menjadi pemain bola sepak profesional juga tidak jelas di kalangan masyarakat awam. Melalui penggabungan ini, segala usaha pembangunan ini boleh distruktur dengan lebih baik dan sistematik dan secara langsung membuka laluan yang lebih jelas untuk pembangunan anak-anak muda di Selangor. Aktiviti-aktiviti pembangunan bola sepak akar umbi yang telah dilaksanakan dengan baik oleh PKNS sebelum ini boleh diperkembangkan lagi dengan lebih meluas ke sembilan daerah di Selangor melalui kerjasama yang lebih erat bersama FA Selangor dan kerajaan negeri.

 

#5 Struktur pentadbiran yang lebih mantap

Selari dengan hasrat FIFA/AFC/FAM, penggabungan ini memberi peluang untuk menyusun semula struktur pentadbiran bagi menjadikannya lebih efektif dan professional, dengan mengambil contoh stuktur pentadbiran yang digunapakai di Jepun, Eropah serta Amerika. Melalui struktur pentadbiran yang profesional di bahagian korporat dan teknikal, ia akan meningkatkan peluang kejayaan pasukan di dalam dan di luar padang.

 

#6 Mengurangkan jurang antara pasukan Liga Super dan pasukan Presiden B21. 

Setelah beberapa bulan menganalisa data bola sepak tempatan, kami mendapati bahawa terdapat jurang yang besar di antara kedua-dua pasukan ini. Tidak ramai pemain Presiden B21 yang berupaya untuk bermain di tahap tertinggi bola sepak Malaysia dalam masa yang singkat. Kebanyakan pemain memilih untuk berputus asa dan tidak diberikan peluang oleh pasukan masing-masing setelah melebihi had umur pasukan Presiden B21. 

Kewujudan pasukan simpanan di Liga Premier ini bakal mengurangkan jurang perbezaan di antara Liga Super dan Piala Presiden, di mana para pemain Presiden B21 akan mendapat lebih masa dan peluang untuk mempertingkatkan keupayaan masing-masing. 

Pihak FAS telah mempertimbangkan pelbagai alternatif untuk mewujudkan pasukan simpanan termasuklah menubuhkan sebuah pasukan baharu sebagai pasukan simpanan. Namun peraturan pertandingan yang ditetapkan oleh pihak MFL menyebabkan pasukan simpanan tersebut perlu bermain di peringkat terbawah iaitu Liga M4. 

Walaupun tidak salah untuk bermula dari bawah, situasi ini akan melengahkan perancangan Selangor selama 2-3 tahun dan menjejaskan pembangunan pemain-pemain muda Selangor kerana beraksi dalam liga yang kurang kompetitif dari Piala Belia dan Piala Presiden. Usaha FAS untuk mengubah halatuju bola sepak Selangor bukan usaha jangka masa pendek, justeru inisiatif mewujudkan pasukan simpanan ini diharapkan akan membantu mengembalikan kegemilangan bola sepak Selangor dalam masa akan datang.

Foto: FAS

Comments