Kenyataan rasmi penggabungan FA Selangor & PKNS FC

Hafizuddin Omar Hafizuddin Omar

Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) pada hari ini telah mengeluarkan satu kenyataan rasmi berkenaan usaha penggabungan di antara FAS dan Kelab Bolasepak Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS FC).

Terdahulu, mereka tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi sebelum ini kerana ingin memastikan proses penggabungan itu berjalan lancar. Namun, ia mengundang beberapa spekulasi dan kenyataan-kenyataan yang tidak tepat oleh beberapa pihak.  

Menurut kenyataan tersebut, FAS terlebih dahulu menafikan bahawa penggabungan bersama PKNS FC semata-mata untuk mendapatkan dana yang lebih besar.

Bagi FAS, selepas penggabungan ini selesai, mereka akan memikul tanggungjawab yang lebih besar. 

FAS bukan sahaja perlu membawa kejayaan kepada pasukan utama tetapi turut beperanan untuk membina asas yang lebih kukuh bagi pembangunan bakat-bakat muda di negeri Selangor sekaligus menjadikan mereka jaguh bola sepak pada masa akan datang.

Menerusi kenyataan itu juga, usaha untuk menggabungkan di antara FAS dan PKNS FC telah lama wujud sejak pemerintahan beberapa Menteri Besar yang lepas. Bagaimanapun, terdapat beberapa kekangan yang menyebabkan usaha ini gagal direalisasikan sehingga hari ini.

Akan tetapi, FAS yang dipimpin oleh Tuanku Presiden DYTM Tengku Amir Shah mula menggerakkan usaha penggabungan ini dan telah berbincang secara mendalam mengenai perkara ini bersama Menteri Besar Selangor, YAB Tuan Amiruddin sejak beberapa bulan lalu.

YAB Menteri Besar positif dengan perkara ini dan beliau telah beberapa kali menyatakan hasratnya kepada pihak media bahawa PKNS FC akan dijadikan sebuah ‘pasukan simpanan’.

Langkah ini juga diambil untuk memastikan FAS dan PKNS FC bergerak seiring dengan arus perubahan bola sepak semasa supaya terus kekal relevan dalam keadaan ekonomi dan kewangan yang semakin mencabar.

Ini juga merupakan langkah yang tepat oleh Kerajaan Negeri dan Menteri Besar bersama-sama DYTM Tuanku Presiden untuk kemajuan bola sepak Selangor dan kepentingan rakyat Selangor. Usaha penggabungan ini bakal menjadi perubahan besar dalam sejarah bola sepak Selangor.

Foto: MUSA

Comments