Rozaimi akui kecederaan akibat kemalangan pada 2015 masih menganggu prestasi

Muhammad Aiman Muhammad Aiman

Penyerang Johor Darul Ta’zim II (JDT II), Rozaimi Abd Rahman tidak berselindung mendedahkan betapa kecederaan yang dialami akibat kemalangan jalan raya empat tahun lalu, menyebabkannya masih bergelut untuk kembali ke prestasi sebenar.

Bekas pemain Sabah ini mengakui dia terpaksa bekerja keras untuk mendapatkan kepercayaan beraksi dalam skuad utama musim ini termasuk diturunkan dalam perlawanan penting aksi final pertama Challenge Cup di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Jumaat lalu.

“Selepas kemalangan pada tahun 2015, memang saya makan masa untuk betul-betul sembuh dan bukan mudah untuk kembali cergas seperti sebelum ini. Apabila dapat peluang beraksi dalam kesebelasan utama, saya akan buktikan sedaya upaya kemampuan yang ada tetapi semua itu bukan senang kerana perlu bersaing juga dengan pemain lain.

“Memang saya tidak berpuas hati lagi dan masih banyak kerja rumah yang perlu dibuat untuk mendapatkan momentum itu dan saya tidak boleh selesa dengan prestasi sekarang ini,” kata pemain yang pernah tersenarai dalam 10 pemain terbaik Asia pada 2012 ini.

Pemain berusia 27 tahun ini berjaya menjaringkan enam gol di saingan Liga Premier 2019 dan dua gol dalam aksi Challenge Cup musim ini.

Namun, tugas berat masih menanti Rozaimi dan rakan sepasukan apabila bakal membuat perhitungan di final kedua menentang UKM FC pada Sabtu ini bagi merebut trofi Challenge Cup 2019, dengan mereka membawa kelebihan agregat tipis 1-0.

“Bagi saya, keputusan 1-0 itu belum lagi selamat kerana aksi timbal balik nanti sukar untuk dijangka dan UKM FC juga beraksi tidak kurang hebatnya pada minggu lalu. Saya sendiri pun masih banyak lagi kekurangan di atas padang dan perlu memperbaiki apa jua kelemahan.

“Dalam final pertama tempoh hari, kami banyak kehilangan bola dan akhirnya hanya berupaya memperoleh satu gol sahaja sebagai bekalan, jadi kami bermain lebih agresif,” katanya.

Foto : Johor Southern Tigers

Comments