Tunku Mahkota Ismail sentiasa sedia membantu demi jayakan Next50

Muhammad Aiman Muhammad Aiman

Walaupun sudah tidak lagi memegang jawatan Pengerusi Malaysian Football League (MFL), Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim menyatakan baginda sentiasa terbuka untuk berkongsi idea dan menghulurkan sokongan kepada badan itu seandainya diperlukan khususnya dalam menjayakan MFL Next50 Strategic Blueprint 2021-2070.

Tunku Mahkota Ismail turut percaya akan kemampuan Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin untuk menggalas tugas selaku Presiden MFL serta meneruskan legasi baginda selepas ini.

“Sudah tentu saya akan sentiasa ambil berat kerana saya yang memberi idea tersebut (Next50) untuk kita turut bekerjasama bersama LaLiga khususnya.

“Ini kerana, modul LaLiga sendiri membuktikan apa yang mereka telah lakukan di Sepanyol sudah berjaya dan kita juga enggan ketinggalan untuk turut membuat perkara yang sama di sini.

“Saya tetap akan sentiasa memberikan pandangan yang ikhlas serta idea-idea yang sebaik mungkin dan saya akan sentiasa menyokong bola sepak tanah air pada masa akan datang,” titah baginda.

Sepanjang pembabitan Tunku Mahkota Ismail bersama MFL sejak dua tahun lalu, baginda berpuas hati dengan apa yang telah dijayakan oleh MFL tetapi tidak menolak masih ada yang perlu diperbaiki dalam memastikan liga berjalan dengan lebih lancar.

“Dalam aspek memajukan bola sepak tanah air, saya ingin menyeru kepada semua termasuklah Presiden MFL, Ahli Lembaga Pengarah MFL dan lain-lain untuk memainkan peranan dalam menguruskan badan penganjur liga ini.

“Mereka perlu lebih komited untuk memastikan peningkatan yang lebih baik agar kita sama-sama dapat melihat kejayaan bola sepak tanah air pada masa akan datang,” titah baginda.

Pelbagai perubahan dan kejayaan dicapai MFL sepanjang diterajui Tunku Mahkota Ismail antaranya adalah pengstrukturan semula Liga Malaysia dengan hak penyiaran meningkat sebanyak RM1 juta hingga RM3 juta kepada pasukan Liga Premier dan Liga Super serta kewujudan saingan amatur Liga M3 dan M4.

Selain itu peningkatan siaran langsung sebanyak 295 perlawanan berbanding 66 perlawanan pada 2016 serta memperkenalkan kuota pemain import Asean dilihat bukan sahaja berjaya merancakkan lagi saingan malah memperkenalkan lagi Liga Malaysia di peringkat antarabangsa.

Foto : MFL

Comments