Terima kasih MFL, Felda United FC sudah boleh berdikari cari duit sendiri

Muhammad Aiman Muhammad Aiman

Kelab Bolasepak Felda United berpuas hati dengan bantuan diberikan Malaysian Football League (MFL) kepada mereka setakat ini dan berharap akan lebih banyak perubahan positif dicapai pada Mesyuarat Tahunan Rakan Kongsi Liga ketiga, pada Sabtu ini.

Menurut Setiausaha Agung Felda United FC, Afizal Abu Othman, beliau mahu melihat lebih banyak penyelarasan antara MFL dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas ini bagi memudahkan gerak kerja yang sedang dilakukan terutama dalam Next50 Strategic Blueprint MFL serta Peta Hala Tuju atau Roadmap FAM, F:30.

Selain itu, beliau juga mahu melihat MFL akan terus bersikap proaktif dan sentiasa mengadakan perjumpaan dengan persatuan negeri dan kelab bagi merungkai setiap permasalahan yang berlaku dalam pengurusan setiap pasukan.

“Menjelang Mesyuarat Tahunan, kita selaku pemegang taruh harap MFL akan kekalkan apa yang telah lakukan.

“Apa paling penting, gerak kerja yang dilakukan sebelum ini tidak terjejas tetapi memudahkan lagi kedua-dua pihak iaitu FAM dan MFL berganding bahu membantu semua persatuan termasuk kelab seperti dalam isu pelesenan serta pengukuhan pengurusan tiap pasukan.

“Selepas ini, MFL juga saya harapkan akan lebih kerap berhubung dalam membantu kebanyakan pasukan dalam soal penjanaan kewangan yang sentiasa menjadi isu kritikal kepada kebanyakan pasukan.

“MFL banyak membantu Felda sejak saya memegang jawatan ini seperti penjelasan hak penyiaran dan kami mahu ucapkan terima kasih di atas segala pertolongan diberikan terutama menerusi Kevin Ramalingam (Ketua Pegawai Eksekutif MFL) dan Shazli Shaik Mohd (Ketua Pegawai Operasi MFL), ” katanya.

Dalam masa sama, Afizal menjelaskan MFL begitu serius dan komited membantu Felda United FC terutama dalam soal pemasaran memandangkan pihaknya mahu berdiri atas kaki sendiri mulai musim depan terutama dalam soal penjanaan kewangan.

Perkara itu jelas melegakan Felda United FC yang kini sudah menemui beberapa formula terbaik meraih pendapatan sendiri bermula musim depan tanpa terlalu bergantung 100 peratus dana daripada pihak lain.

“MFL terutama menerusi Kevin dan Shazli ada memberi jalan serta pandangan bagaimana kami boleh menjana kewangan dengan menggunakan kekuatan seluruh komuniti di Felda. Melalui kerjasama dengan MFL dan syarikat swasta yang akan membangunkan padang bola sepak, kami sudah mendapat idea bagaimana meraih seberapa banyak pendapatan melalui cara ini untuk tujuan perbelanjaan FUFC.

“Kerjasama sebegini jika berterusan, saya begitu optimis apa sahaja MFL yang sedang lakukan ini mampu membantu pasukan lain, bukan sekadar Felda terutama dalam isu teknikal dan pemasaran Liga Malaysia bagi menaikkan lagi keseluruhan imej Liga Malaysia, ” katanya.

Foto : MFL

Comments