FAS sokong sebarang perubahan jika ianya dapat melonjakkan imej Liga Malaysia

Muhammad Aiman Muhammad Aiman

Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) menyokong apa sahaja perubahan yang akan dibuat pada Mesyuarat Rakan Kongsi Malaysian Football League (MFL) Ke-3 pada Sabtu ini, asalkan ianya dapat membantu melonjakkan lagi imej Liga Malaysia.

Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon berkata MFL setakat ini sudah melaksanakan tugas dengan baik dalam menguruskan saingan liga bola sepak tempatan untuk lebih kompetitif dan sudah pasti lebih banyak yang perlu dilakukan pada musim depan.

“Saya harap semasa kongres nanti, perkara yang berkaitan dengan masa depan bola sepak tempatan dapat dibincangkan dengan baik di mana MFL boleh mengeluarkan polisi-polisi yang lebih progresif dan terbuka.

“Apa pun perubahan yang akan berlaku, objektif utama tetap untuk kebaikan liga bola sepak kita yang turut melibatkan aspek pembangunan juga di mana semua pihak perlu terus memberi idea dan cadangan dengan lebih terbuka untuk kita perbaiki lagi segala kelemahan yang masih ada dalam perjalanan liga,” jelasnya.

Menyentuh mengenai penstrukturan hak penyiaran Liga Malaysia, FAS juga melahirkan rasa teruja menanti tawaran dan pakej yang akan diumumkan menerusi rakan kongsi MFL, Enervive Consultancy Sdn Bhd (EVC).

Menurutnya, FAS juga tiada masalah berkongsi pandangan serta idea melibatkan hak penyiaran liga bersama-sama MFL untuk turut sama membantu projek ini kerana ia juga menjadi tanggungjawab setiap pasukan untuk bekerja keras tarik perhatian penyokong.

“Jadi, bukan sahaja penyokong, malah pasukan-pasukan lain juga dapat diberi pemahaman sebaiknya untuk kita sama-sama menyokong projek berkenaan khususnya daripada segi promosi dan sebagainya,” katanya.

Foto : MFL

Comments