Padang kurang memuaskan bukan alasan buat Terengganu FC

Muhammad Aiman Muhammad Aiman

Biarpun tidak dapat menggunakan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin sebagai gelanggang tuan rumah dalam kempen Piala Malaysia 2019, Terengganu FC optimis dapat menunjukkan prestasi cemerlang dalam baki saingan dan mengulangi pencapaian mara ke final sepertimana tahun lalu.

Finalis 2018 itu ketika ini menjadikan Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah yang berkapasiti hanya 10,000 penyokong sebagai venue tuan rumah, tatkala Stadium Sultan Mizan pula dalam proses penaiktarafan kualiti.

Ketua jurulatih, Nafuzi Zain berkata, “Semua teruja menunggu masa bermain semula di Stadium Sultan Mizan, sudah tentu semua pemain mahukan padang yang cantik dan berkualiti untuk beraksi. Bila padang cantik, permainan akan menjadi lagi menarik, kualiti permainan juga berbeza.

“Malah, padang yang baik, dapat menarik lebih ramai penyokong untuk datang dan bila orang luar datang pun tiada lagi aduan berkenaan padang yang tak berkualiti lagi.

“Tetapi dalam masa sama saya tidak mahu ianya menjadi penghalang untuk kita teruskan langkahan walaupun dalam baki saingan musim ini kita perlu terus bermain di Stadium Sultan Ismail.  Pada tahun lalu kita layak ke final walaupun berlatih dalam keadaan padang yang tidak memuaskan, kita telah buktikan dan kita boleh lakukannya sekali lagi,” ujar Nafuzi.

Sebagai rekod, Terengganu FC yang sedang menerajui Kumpulan A dengan sembilan mata akan beraksi menentang Kedah pada 13 September sebelum menutup saingan peringkat kumpulan dengan menentang PKNS FC pada 17 September ini.

Tahun lalu mereka melangkah ke final dengan mengecewakan Johor Darul Takzim di separuh akhir namun hasrat mendakap trofi berprestij itu tidak kesampaian setelah tewas menerusi penentuan penalti kepada Perak.

 

Foto : Terengganu Football Club

Comments