Dollah Salleh : Tiada masalah gaji jika pasukan cermin diri sebelum berbelanja

Muhammad Aiman Muhammad Aiman

Ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh percaya masalah kewangan yang melibatkan gaji pemain dan jurulatih di Liga Malaysia akan berkurangan bermula musim depan menerusi pelaksanaan Program Kawalan Ekonomi (ECP) oleh Malaysian Football League (MFL).

Program ECP bertujuan mengawal peruntukan setiap pasukan yang bertanding bagi memastikan pengurusan tidak berbelanja berlebihan tanpa melihat kemampuan sendiri, yang selama ini menjadi antara punca utama masalah hutang yang membelenggu pasukan.

Justeru menurut Dollah Salleh, “Bagi saya, benda ini tidak memeningkan kepala pun kerana pengurusan sendiri daripada awal lagi kena sedar untuk berbelanja berpandukan kemampuan masing-masing.

“Kalau kita sudah tak mampu, tapi nak juga ikat pemain-pemain yang bergaji terlalu tinggi sampai satu masa kita dah tak mampu nak bayar, dan akhirnya akan menyusahkan diri sendiri.

“Bukankah kita sudah cipta satu benda yang negatif apabila dipalit tengan isu tidak bayar gaji dan sebagainya sampai berhutang yang terlalu banyak?

“Jadi, inisiatif MFL dengan perancangan bagaimana ingin kawal masalah kewangan yang sering dihadapi setiap pasukan memang bagus dan kita sendiri sebagai pasukan harus profesional untuk turuti program (ECP) ini sambil melihat kemampuan masing-masing”, jelasnya.

Pemain muda Pahang, Faisal Abdul Halim turut sependapat apabila menyambut baik program ECP kerana sebagai pemain, dia memahami nasib pemain-pemain lain yang pernah berdepan isu gaji.

Faisal menganggap langkah yang dibawa oleh MFL ini tepat pada masanya dengan mengharapkan masalah tunggakan gaji pemain tidak lagi akan berlaku dalam masa sama dapat membentuk pengurusan pasukan yang lebih teratur daripada aspek kewangan pada tahun 2020.

“Saya memang menyambut baik apa yang dibuat oleh MFL ketika ini untuk membuka mata pasukan-pasukan lain agar tidak lagi berbelanja keterlaluan sehingga menyusahkan orang lain.

“Sebagai pemain, siapa pun tidak mahu gaji dibayar lewat dan berharap masalah seperti itu dapat dibendung sebaik mungkin kerana bukan mudah untuk mengharapkan penerimaan daripada pasukan lain terhadap program ECP tersebut,” katanya.

Terdahulu pada minggu lalu, Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP), menerima kunjungan daripada MFL yang diwakili oleh Ketua Unit Perancangan dan Strategi, Reuben Chong dan Rakan Kongsi dalam Perkhidmatan Perlindungan Risiko PricewaterhouseCoopers (PwC) iaitu Ting Choo Wai dalam jelajah sesi taklimat mengenai program ECP.

Mereka diberi penerangan secara terperinci berhubung sistem perlaksanaannya bagi memastikan setiap pasukan memahami konsep sebenar program tersebut.

Comments