Selepas sertai kelab Thai, Zafuan Azeman idam tempat di dalam skuad Sukan Sea

Muhammad Aiman Muhammad Aiman

Sejurus menandatangani kontrak dua tahun bersama kelab Divisyen Tiga Thailand, pemain muda, Zafuan Azeman pantas meletakkan sasaran mahu merebut tempat di dalam skuad Sukan Sea 2019.

Pemain yang pernah menyarung jersi skuad B-19 negara yang merupakan produk Piala Presiden Kedah ini bersedia bekerja keras untuk mendapatkan minit bermain secara kerap demi merealisasikan impiannya memikat pengendali skuad B-23, Dato’ Ong Kim Swee.

“Ini satu lembaran baru dalam karier saya, saya tidak pernah berputus asa untuk mencari peluang bermain di liga luar, walaupun bukan divisyen utama, liga di Thailand adalah cukup kompetitif dan ini adalah peluang terbaik untuk saya terus tingkatkan prestasi.

“Saya perlu bermain secara kerap tetapi saya sedar ia bukan sesuatu yang mudah kerana kelab ini dibarisi pemain-pemain yang hebat dan saya perlu bersaing untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama.

“Saya telah membantu pasukan B-19 memenangi Kejuaraan AFF tahun lalu dan menyimpan impian menyarung jersi negara di Sukan Sea. Semoga ini menjadi satu permulaan yang baik dan saya akan berusaha sebaik mungkin,” kata Zafuan Azeman.

Sebagai rekod, sebelum menyertai Ang Thong FC, Zafuan Azeman telah mencuba nasib di beberapa tempat sejak hampir setahun yang lalu – dari pasukan tempatan di Liga Malaysia seperti Pulau Pinang dan Perlis, sehinggalah ke Itali, Korea Selatan dan juga kelab liga utama Thailand, Bangkok United.

Foto : IG Zafuan

Comments