Penyokong teruja menanti pakej bakal ditawarkan EVC

Muhammad Aiman Muhammad Aiman

Penyokong bola sepak tempatan melahirkan rasa teruja menanti pengumuman tawaran dan pakej penyiaran Liga Malaysia daripada Enervive Consultancy Sdn Bhd (EVC) selepas proses penilaian tersebut telah lengkap dalam tempoh 60 hari yang ditetapkan.

EVC yang merupakan rakan kongsi kepada Malaysian Football League, (MFL), telah melaksanakan tugas dengan sebaiknya dalam melaksanakan segala insisiatif yang ada dalam menentukan pakej dan tawaran pada tarikh akhir yang telah diberikan.

Salah seorang penyokong tegar pasukan Pahang, Mohd Maisuruddin Mohd Baharuddin menyifatkan pengumuman tersebut sememangnya dinantikan oleh seluruh peminat bolasepak negara selepas MFL mengumumkan mengenai penstrukturan semula hak penyiaran pada Julai lalu yang kian mendapat reaksi positif penyokong tempatan.

Bahkan, dia percaya semua penyokong kini sudah bersedia untuk menjadi pelanggan setia kepada platform yang akan diumumkan nanti di mana hasil daripada langganan itu akan diberikan kepada semua pasukan yang bertanding.

“Saya secara jujur memang tidak sabar nak tahu harga dan pakej yang akan ditawarkan sebab kami semua memang dah lama menanti pengumuman itu dibuat.

“Daripada awal lagi sewaktu penstrukturan semula hak penyiaran, memang ramai macam tidak yakin dan percaya, tetapi MFL dan rakan kongsi mereka (EVC) berjaya tunjukkan komitmen dan saya yakin ia akan berjalan lancar untuk kami semua melanggan applikasi itu.

“Apatah lagi sekarang ini semuanya di hujung jari dan tidak semua yang akan dapat datang ke stadium, jadi aplikasi ini merupakan jalan pintas untuk kami semua tonton perlawanan di samping dapat membantu juga sumber kewangan pasukan kesayangan kami.

“Kalau kita lihat, penyokong-penyokong ada yang tinggal jauh di pedalaman dan sukar nak ke stadium, jadi inilah cara terbaik untuk mereka tengok bola dengan syarat, pakej dan harga yang ditawarkan biarlah berpatutan,” jelasnya.

Seorang lagi penyokong, Mohd Faris Idlan (gambar utama) menyambut baik penstrukturan hak Liga Malaysia itu dengan mengharapkan tawaran yang akan diberikan perpatutan khususnya buat mereka yang bergelar pelajar sepertinya.

“Macam saya sekarang masih belajar, apatah lagi nak ke stadium pun jarang-jarang, jadi memang selalu tonton perlawanan menerusi telefon pintar sahaja dan apa yang akan diperkenalkan oleh MFL itu sememangnya dinantikan.

“Tapi, saya harap pakej yang akan ditawarkan mampu tarik minat penyokong-penyokong dan kami sebagai pelajar juga tidak terlalu rasa terbeban untuk melanggan,” katanya.

MFL sebelum ini mengumumkan penstrukturan baharu hak penyiaran Liga Malaysia yang menyaksikan penyokong bola sepak tempatan akan memain peranan penting dalam menjana pendapatan pasukan.

Bagaimanapun, pengumuman pakej dan tawaran itu hanya akan didedahkan kepada umum selepas kertas kerja berkenaan dibentangkan terlebih dahulu kepada Ahli Lembaga Pengarah MFL.

Comments