Jangan harapkan JDT semata-mata untuk ungguli ACL

Muhammad Aiman Muhammad Aiman

Ketua pasukan Johor Darul Takzim (JDT) Hariss Harun berpendapat pasukan juara Liga Super itu tidak seharusnya dilihat sebagai satu-satunya sandaran untuk mengungguli saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) dalam masa 15 tahun sepertimana sasaran ditetapkan dalam Next50 Strategic Blueprint Malaysian Football League (MFL).

Sambil mengakui JDT dalam laluan terbaik untuk melaksanakan sasaran itu setelah membuat penampilan sulung di ACL musim ini dengan prestasi mengagumkan, Hariss berkata semua pasukan Liga Malaysia boleh menyerlah di pertandingan terbesar Asia itu sekiranya mempunyai perancangan tersusun dan merangka persiapan rapi bagi menyaingi kelab-kelab besar di rantau Asia.

“Saya harap Liga Malaysia ini akan berkembang dengan jayanya dan menjadi lebih kompetitif, lebih sengit. 15 tahun ditetapkan MFL (untuk pasukan tempatan ungguli ACL) adalah satu tempoh yang cukup lama dan macam-macam boleh jadi dalam tempoh masa tersebut.

“Jadi tugas kami sebagai pemain adalah untuk sentiasa memperbaiki prestasi dengan dan bukan hanya JDT, tetapi pasukan-pasukan lain juga perlu turut sama main peranan untuk memastikan setiap sasaran dalam Blueprint itu tercapai dalam tempoh yang ditetapkan.

“Dan sudah pasti kerjasama yang sebaik mungkin dituntut daripada semua pihak untuk meningkatkan kualiti Liga Malaysia dari masa ke semasa kerana jika kita ada liga yang kukuh dan berkembang, ia bukan sahaja dapat membantu kita memberi saingan dalam ACL, tetapi juga mampu memberi kesan positif kepada pasukan kebangsaan,” jelasnya.

Pandangan pemain kebangsaan Singapura itu mendapat sokongan pemain import Terengganu, Lee Tuck yang turut menekankan penyokong untuk menjadi nadi penting kepada perkembangan Liga Malaysia.

“Bermula tahun hadapan, semua tahu penyokong akan menjadi keutamaan dalam perjalanan Liga Malaysia di mana mereka akan turut membantu peruntukan pasukan menerusi penstrukturan hak penyiaran yang dilancarkan sebelum ini.

“Kita nak lebih ramai penyokong memberikan sokongan kepada pasukan masing-masing, tetapi dalam masa sama, saya percaya pendedahan dan berita positif mangenai pasukan dan pemain juga penting.

“Pemain-pemain juga perlu pandai berinteraksi dengan pihak media untuk berkongsi perkembangan diri dan secara tidak langsung memberikan cerita yang positif untuk dikongsi bersama penyokong”, katanya.

Comments