Awas Terengganu FC, Jang takkan bagi muka!

Muhammad Aiman Muhammad Aiman

Kapten Negeri Sembilan, Norhafiz Zamani Misbah sedar satu lagi kekalahan dalam aksi peringkat kumpulan berpotensi menutup peluang pasukannya untuk meneruskan kemaraan ke suku akhir Piala Malaysia 2019.

Negeri Sembilan bimbingan Zaki Sheikh Ahmad sebelum ini tewas dua kali kepada Kedah disusuli PKNS FC menyaksikan mereka satu-satunya pasukan belum meraih mata dalam Kumpulan A dan selepas ini mereka bertandang pula ke Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah untuk menentang Terengganu FC.

“Kami perlu bangkit dan mula mengutip mata, jadi kita perlu mulakannya dengan Terengganu FC. Mereka adalah pasukan Liga Super dan juga finalis musim lalu, tetapi kita tidak perlu pandang reputasi itu, jangan beri ruang, jangan beri muka, 90 minit atas padang kita cuba kerah kudrat sebaik mungkin.

“Ketepikan tanggapan bahawa ianya sukar untuk menang di tempat lawan, jika ada tanggapan begitu kita awal-awal lagi sudah memberi mereka kelebihan. Terengganu FC adalah pilihan tetapi kita boleh mengambil inspirasi dari beberapa pasukan yang pernah membawa pulang kemenangan dari sana (Kuala Terengganu),” kata Norhafiz Zamani.

Bekas pertahanan skuad kebangsaan berusia 38 tahun itu turut menyatakan bahawa beberapa kelemahan yang terlihat ketika kekalahan kepada Kedah dan PKNS FC terutamanya ketumpulan sentuhan penyudah sedang ditambahbaik.

Sebagai rekod, Terengganu FC kendalian Nafuzi Zain sedang memimpin Kumpulan A dengan enam mata hasil kemenangan ke atas PKNS FC dan juara Piala FA, Kedah.

Pada musim lalu mereka kecundang kepada Perak dalam aksi final Piala Malaysia menerusi penentuan sepakan penalti manakala Negeri Sembilan pula yang pernah muncul juara pada 2009 dan 2011 kali terakhir melangkah melepasi peringkat kumpulan adalah pada 2016.

 

Foto : Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS)

 

Comments