Rajagobal tidak mahu pemain buat silap lawan Kedah

Muhammad Aiman Muhammad Aiman

Pengendali PKNS FC, Datuk K. Rajagobal sedar hanya kemenangan dalam aksi menentang Kedah pada Jumaat bakal meletakkan pasukan itu dalam kedudukan terbaik bagi pemburuan slot ke suku akhir Piala Malaysia 2019.

Selepas dua perlawanan, PKNS FC ketika ini di tangga ketiga kumpulan A dengan tiga mata selepas meraih kemenangan ke atas Negeri Sembilan minggu lalu manakala Kedah pula di tangga kedua juga dengan tiga mata hasil kemenangan pada perlawanan pertama menewaskan Negeri Sembilan.

Justeru, Rajagobal menyifatkan persaingan yang cukup sengit bakal disaksikan pada Jumaat ini dengan Kedah pastinya turun bersemangat dengan misi untuk bangkit daripada kekalahan kepada Terengganu di Stadium Darul Aman tempoh hari.

Namun, itu bukan alasan untuk anak buahnya gentar dengan juara Piala FA 2019 itu kerana baginya peluang masih terbuka untuk PKNS FC mendapatkan keputusan positif walaupun rekod pertemuan mereka sebelum ini lebih memihak kepada skuad kendalian Aidil Sharin Sahak dengan dua seri dan dua kemenangan dalam empat aksi terakhir membabitkan Liga Super dan Piala FA musim ini.

“Kita sememangnya tidak boleh leka walaupun sedikit kerana dua-dua nak kemenangan berharga ini. Saya mahu setiap pemain fokus dan saya rasa pemain-pemain pun sudah dapat suntikan semangat selepas kemenangan ke atas Negeri Sembilan di mana kemenangan itu sudah lama kita nantikan.

“Saya percaya jika semua pemain ikut tunjuk ajar dan arahan daripada barisan jurulatih sebaiknya selain disiplin yang tinggi, kemenangan itu mampu menjadi milik kita.

“Kita kena ambil kesempatan seberapa banyak mungkin ke atas Kedah dan tidak boleh terlalu yakin dengan kelebihan beraksi di laman sendiri kerana apa yang penting adalah fokus pemain itu sendiri”, jelasnya.

Sementara itu, tonggak import PKNS FC, Gabriel Guerra yang menjaringkan dua gol ketika kemenangan ke atas Negeri Sembilan, sudah bersedia untuk meneruskan sentuhan jaringannya.

Pemain dari Argentina itu tidak mahu momentum yang dicipta pada minggu lalu berlalu begitu sahaja untuknya memastikan prestasi yang lebih baik mampu ditampilkan menentang Kedah.

“Kami tahu Kedah satu pasukan yang hebat dan bukan mudah untuk menyaingi mereka, tetapi kami satu pasukan juga tidak pernah berhenti bekerja keras dan cukup bersedia untuk hadapi aksi itu nanti.

“Yang penting, saya mahu bantu pasukan lagi sekali untuk menjaringkan gol di mana saya tidak pernah serik untuk perbaiki prestasi dalam setiap perlawanan sebelum ini,” katanya.

Foto : MFL

Comments