JDT pancing tonggak Harimau Muda, Danial Amier

Hafizuddin Omar Hafizuddin Omar

Tonggak tengah Harimau Muda dan Felda United FC, Danial Amier Norhisham menjadi buruan juara Liga Super 2019, Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi memperkuatkan pasukan mereka pada musim hadapan.

Menurut laporan daripada Stadium Astro, Setiausaha Agung Felda United FC, Afizal Abu Othman mengesahkan pasukan JDT melakukan tawaran rasmi bagi mendapatkan pemain tengah berbakat tersebut.

Beliau berkata, “Sekarang memang terima daripada pihak JDT, jadi mereka perlu berbincang dengan kami. Hasil perbincangan itu, jika bersetuju, baguslah.

“Kami juga mahu sesuatu yang adil untuk Felda. Dia sudah tiga atau empat tahun bersama kami dan dia dijaga sejak daripada skuad pembangunan lagi,” katanya.

Difahamkan Danial Amier Norhisham atau turut mesra disapa sebaga ‘Boy’ oleh rakan sepasukan telah diletakkan ‘tanda harga’ RM1 juta oleh majikannya. Ketika ini, beliau masih mempunyai baki kontrak selama satu tahun.

Pemain berusia 22 tahun ini mula menyarung jersi Felda United FC pada tahun 2017, dengan menyertai pasukan bawah 21 tahun – pasukan yang bersaing dalam kancah Piala Presiden. 

Pada musim yang sama, bakatnya menarik perhatian bekas pengendali The Fighters, B. Satiananthan dan beliau ‘dinaikkan pangkat’ ke pasukan senior.

Danial berjaya membuat penampilan pertama dalam saingan Liga Super ketika berumur 20 tahun.

Foto: Felda United FC

Awal musim lalu, beliau ditimpa kecederaan metatarsal semasa menentang Filipina pada aksi kelayakan Kejohanan AFC Bawah 23 Tahun (B-23). Kecederaan itu menyebabkan beliau terpaksa berehat panjang.

Namun, sekembalinya beliau ke dalam kesebelasan utama Felda United FC pada akhir-akhir ini, persembahan beliau semakin mendapat rentak dan banyak membantu pasukan kendalian Nidzam Jamil.

Mengulas mengenai tawaran daripada JDT, Danial Amier gembira namun fokusnya pada masa ini untuk mengulangi pencapaian pada musim lalu iaitu mara ke saingan suku akhir Piala Malaysia bersama pasukan Felda United FC.

“Itu saya letakkan kepada pengurusan untuk uruskan. Harga adalah hak mereka untuk tetapkan dan saya sebagai pemain bersyukur dan gembira kerana JDT berminat dengan saya. Buat masa sekarang, saya fokus dengan Felda dan jika ada rezeki ke JDT, Alhamdulillah,” kata pemain tengah kelahiran Kuala Lumpur ini.

Foto: FAM

Comments