Adakah Irfan Bakti calon yang tepat untuk melatih Kuala Lumpur?

Khairul Nizam Khairul Nizam

Adakah benar bekas ketua jurulatih Terengganu FC, Irfan Bakti bakal menyertai Kuala Lumpur?

Dalam satu laporan Stadium Astro, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) Nokman Mustaffa mendedahkan bahawa The City Boys memang ada melakukan rundingan dengan Irfan berkenaan mengisi kekosongan jawatan jurulatih pasukan berkenaan.

“Kami telah mendapatkan pandangan daripada Irfan. Beliau memiliki pengalaman yang baik dalam saingan liga tempatan sementara kami sedang berbincang untuk mendapatkan khidmatnya,” kata Nokman dalam laporan berkenaan.

Nokman turut memberi gambaran bahawa KL juga sedang mengintai calon jurulatih dari luar dan tempatan lain untuk mengisi jawatan berkenaan.

Jadi, adakah Irfan Bakti merupakan calon yang tepat untuk melatih Kuala Lumpur yang tersingkir ke Liga Premier dan membantu mereka untuk bangkit semula pada musim hadapan?

Jika kita melihat kepada nama-nama yang pernah mengisi kekosongan jawatan ketua jurulatih Kuala Lumpur, mungkin kali terakhir Kuala Lumpur mempunyai seorang jurulatih yang mempunyai pengalaman luas melatih pasukan Liga Super adalah pada tahun 2004-2007, iaitu ketika dilatih oleh Mat Zan Mat Aris. Selepas itu The City Boys kerap menukar jurulatih mereka dengan nama-nama seperti Hans Jurgen Gede, Razip Ismail, Stanislav Leiskovsky, Tang Siew Seng, Ricardo Formosinho, Ismail Zakaria, Wanderley Junior, Fabio Maciel, Yusri Che Lah, Chong Yee Fatt dan kini dipangku oleh Rosle Md Derus.

Berbeza dengan nama-nama itu, satu perkara yang mungkin membuatkan Irfan Bakti lebih daripada mereka adalah dia mempunyai pengalaman melatih pasukan-pasukan Liga Super untuk merangkul piala. Dia pernah menjuarai Liga Perdana 1 bersama Pulau Pinang dan membawa Terengganu menjulang Piala FA pada tahun 2011. Irfan juga berjaya membawa Terengganu mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia pada tahun lalu sebelum tewas kepada Perak.

Irfan bukan sahaja mempunyai pengalaman melatih pasukan Liga Malaysia, tetapi dia juga pernah bergelar jurulatih di Liga Indonesia ketika menyertai Persipura Jayapura pada tahun 2007.

Setakat ini, mungkin jurulatih paling berjaya buat KL dalam tempoh beberapa tahun ini adalah Fabio Maciel yang berjaya membawa mereka bergelar juara Liga Premier, mengatasi Terengganu yang dikendalikan oleh Irfan.

Dalam tempoh beberapa tahun ini, Kuala Lumpur sudah mencuba menggunakan khidmat jurulatih luar seperti Fabio, Wanderley dan Ricardo Formosinho serta jurulatih tempatan yang muda seperti Yusri Che Lah, Chong Yee Fatt dan Rosle Md Derus. Fabio seorang jurulatih yang bagus, tetapi menggunakan khidmat jurulatih luar memerlukan kos yang tinggi. Jurulatih tempatan yang masih baru pula adalah satu risiko dan memerlukan kepercayaan tinggi daripada pihak pengurusan untuk memberi sokongan kepada mereka dalam menerapkan taktikal mereka.

Menggunakan khidmat jurulatih berpengalaman seperti Irfan Bakti mungkin boleh membantu Kuala Lumpur kerana dia sendiri sudah biasa dengan Liga Malaysia dan mengenali pemain tempatan. Tetapi Irfan pastinya memerlukan sokongan juga daripada KLFA terutamanya dari segi membawa masuk pemain-pemain yang dimahukannya. Setiap jurulatih mempunyai taktikal mereka sendiri dan untuk melaksanakannya, mereka perlukan pemain yang mampu merencanakannya.

Jika Kuala Lumpur mahu kembali ke Liga Super, mungkin Irfan boleh menjadi calon yang tepat buat mereka. Tetapi semuanya tetap bergantung kepada KLFA sendiri untuk mempunyai perancangan jangka panjang yang rapi untuk membantu Irfan. Pengalaman Irfan tidak berguna jika KLFA sendiri tidak dapat membantu atau sekurang-kurangnya memberi kebebasan untuk dia membentuk pasukan dengan caranya yang tersendiri.

 

Kredit foto: Terengganu FC

 

Comments