JDT bantu persiapan Nepal menjelang pusingan kelayakan Piala Dunia

Khairul Nizam Khairul Nizam

Dulu pernah timbul perdebatan apabila kelab-kelab dari luar negara datang ke Malaysia dan mengadakan perlawanan persahabatan menentang pasukan negara sehingga digelar perlawanan ‘sarkis’.

Tapi sekarang nampaknya terbalik pula.

Sebagai persediaan skuad kebangsaan Nepal bagi mengharungi perlawanan peringkat kumpulan Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023, mereka telah mengatur satu perlawanan persahabatan menentang juara Liga Super 2019, Johor Darul Ta’azim.

JDT menerusi laman sosial rasmi mereka, Johor Southern Tigers telah mengumumkan bahawa perlawanan persahabatan itu akan diadakan 26 Ogos ini di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos.

Menurut laman rasmi JDT itu lagi, barisan pemain yang akan diturunkan dalam perlawanan tersebut adalah terdiri daripada gabungan pemain JDT dan JDT II. JDT berkemungkinan tidak akan dapat menurunkan barisan terkuat mereka dengan sebilangan besar pemain akan menyertai latihan skuad kebangsaan bagi perlawanan berdepan Indonesia pada 5 September nanti.

Pastinya ini adalah satu penghormatan buat JDT kerana sebuah pasukan kebangsaan telah memilih mereka sebagai salah satu persiapan bagi mengharungi cabaran pusingan Kelayakan Piala Dunia.

Nepal diletakkan dalam Kumpulan B bagi pusingan kelayakan ini bersama Australia, Jordan, Chinese Taipei dan Kuwait.

 

Kredit foto: Johor Southern Tigers

 

 

 

Comments