Kuching FA noktahkan rekod tanpa kalah 21 perlawanan Kelantan United

Muhammad Aiman Muhammad Aiman

Pemburuan kejuaraan Liga M3 yang turut menawarkan slot automatik ke Liga Premier 2020 kembali terbuka setelah pendahulu liga, Kelantan United tewas 1-2 kepada pasukan tangga kedua Kuching FA di Stadium Negeri, Sarawak pada Sabtu.

Jaringan lewat permainan oleh penjaring terbanyak Liga M3, Fakhrulzaman Wan Zawawi gagal mengelakkan skuad Zahasmi Ismail daripada mengalami kekalahan pertama mereka selepas 21 perlawanan, sekaligus membolehkan Kuching FA mengurangkan kelebihan Kelantan United di puncak liga kepada enam mata.

Kelantan United yang menang 11 perlawanan terakhir, seharusnya menyalahkan diri sendiri di atas kekalahan, dek kerana gagal menyempurnakan deretan peluang terhidang, dan ia diburukkan dengan beberapa keputusan meragukan pengadil dari Sarawak, Anselm Anak Enterang yang mengadili perlawanan itu.

Kuching FA bimbingan Ideris Untong meraih tiga mata dengan memanfaatkan dua peluang di awal setiap separuh masa, menerusi jaringan Zainudin Bohri pada minit ketujuh dan Sufizal Ismail yang menyempurnakan hantaran Zainudin pada minit ke-52.

Kelantan United yang mengumpul 59 mata mempunyai baki tiga perlawanan untuk diharungi, manakala Kuching FA (53 mata) pula empat perlawanan.

 

Foto : Kelantan United FC

Comments