Kelab Liga Indonesia jalin kerjasama dengan syarikat Malaysia

Ketika pasukan Liga Malaysia sibuk dengan pelancaran jersi, ada satu perkhabaran menarik dari negara jiran.

Pasukan dari Liga Indonesia, Persijap Jepara nampaknya bakal menggunakan jersi yang dihasilkan daripada syarikat Malaysia untuk saingan liga musim hadapan.

Persijap Jepara yang beraksi di Liga 3 Indonesia, telah menandatangani perjanjian jangka panjang bersama syarikat Malaysia, Kaki Jersi sebagai pembekal pakaian rasmi mereka. Perjanjian itu melibatkan jersi pasukan, pakaian latihan dan ke tempat lawan untuk pasukan utama, remaja, wanita, barisan kejurulatihan dan pegawai pasukan Persijap Jeparan.

“Kami berbangga kerana syarikat seperti Kaki Jersi telah memilih pasukan seperti Persijap Jepara sebagai pelaburan untuk menembusi pasaran Indonesia. Apa yang menggembirakan saya, kerjasama ini juga sebagai satu platform untuk Kaki Jersi melancarkan pakaian sukan mereka yang begitu inovatif dan terkini.

“Sebagai pembekal┬ájersi rasmi kami, Kaki Jersi memainkan peranan penting dalam usaha kami untuk membangunkan bolasepak di daerah Jepara. Kami sudah melihat usaha dan hasil bantuan mereka dalam bolasepak sosial dan sukan komuniti di Selangor dan Terengganu dan kami harap ia dapat dilakukan juga di Jepara,” kata Presiden Persijap Jepara, Esti Puji Lestari.

Dengan Kaki Jersi sudah mengembangkan sayap mereka ke Indonesia, mungkin sudah tiba masanya juga untuk pasukan bolasepak dan pengeluar jersi tempatan untuk berkerjasama dengan lebih rapat lagi. Siapa tahu, suatu hari nanti semua pasukan Liga Malaysia akan menggunakan 100% jersi daripada syarikat tempatan.

 

 

 

Comments