Harimau Malaya belum setanding Vietnam

Hafizuddin Omar Hafizuddin Omar

Skuad bola sepak kebangsaan, Harimau Malaya nampaknya belum dapat menandingi kehebatan pasukan Vietnam yang dibimbing oleh jurulatih dari Republik Korea, Park Hang-seo.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi sebentar tadi, Malaysia terpaksa akur dengan kekalahan 1-0 hasil jaringan pemain mudanya, Nguyen Quang Hai pada minit ke-39.

Walaupun menampilkan corak permainan yang hampir sama, kebolehan individu yang dimiliki pemain-pemain Naga Emas nyata memberi kelebihan kepada mereka untuk lebih mendominasi sepanjang 90 minit permainan.

Ketua jurulatih Malaysia, Tan Cheng Hoe melakukan sedikit perubahan pada separuh masa kedua. Beliau bertindak memasukkan Akhyar Rashid dan mengeluarkan penyerang senior, Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-55.

Dengan kemasukan Akhyar untuk bermain di posisi sayap kiri, Safawi Rasid diarahkan untuk bermain di sayap kanan manakala pemain naturalisasi dipertaruhkan selaku penyerang utama.

Nampak sedikit perubahan kepada corak permainan Malaysia di mana pemain-pemain mula mendapatkan rentak dan cuba merencanakan serangan ke arah gawang lawan.

Bagaimanapun, disiplin tinggi yang ditampilkan oleh Vietnam ketika bertahan menjadi batu penghalang buat Malaysia untuk meraih sekurang-kurangnya seri di kota Hanoi.

Foto: Football Association of Malaysia / Kamarul Akhir

Comments