Bonus RM90,000 menanti jika Vietnam tumpaskan Malaysia

Hafizuddin Omar Hafizuddin Omar

Skuad bola sepak Vietnam akan menerima bonus sekitar RM90,000 sekiranya berjaya menumpaskan Malaysia pada perlawanan pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, malam ini.

Menurut laporan oleh Dantri International, ganjaran sebanyak VND500 juta itu dijanjikan oleh sebuah firma di Vietnam iaitu Danko Group.

Sekiranya skuad Golden Dragon bimbingan Park Hang-seo mencatatkan keputusan seri, firma terbabit akan memberikan ganjaran sebanyak VND300 juta atau sekitar RM54,000.00.

Dan seandainya tewas, firma tersebut tetap menyediakan sejumlah VND200 juta atau sekitar RM36,000 kepada skuad kebangsaan mereka.

Dalam satu hebahan rasmi firma tersebut, wakil Danko Group berharap pengumuman ganjaran ini akan meningkatkan motivasi para pemain menjelang perlawanan sekaligus memberikan pengalaman yang tidak boleh dilupakan buat penyokong bola sepak Vietnam.

Selain daripada motivasi berupa ganjaran wang tunai, skuad Vietnam turut mendapat suntikan motivasi tambahan apabila turun bermain di gelanggang sendiri, Stadium Nasional My Dinh, Hanoi sambil disaksikan oleh 40,000 penyokong sendiri.

Tambahan pula, mereka juga memiliki rekod yang lebih baik menentang Malaysia dengan mencatatkan 11 kemenangan berbanding Harimau Malaya yang sekadar meraih 5 kemenangan dalam 19 pertemuan.

Baki tiga perlawanan di antara kedua-dua pasukan berakhir dengan keputusan seri.

Foto: Danko Group

Comments