Dikerumun media Vietnam, Matyo berhasrat bawa pulang 3 mata dari Hanoi

Hafizuddin Omar Hafizuddin Omar

Penyerang senior Malaysia, Norshahrul Idlan Talaha atau lebih dikenali sebagai Matyo sering menjadi tumpuan para pengamal media Vietnam apabila skuad kebangsaan bertemu pasukan negara tersebut.

Namanya mula menjadi tumpuan penyokong dan pengamal media Vietnam ketika saingan separuh akhir ke-2 Piala AFF Suzuki 2014 di mana penyerang berusia 33 tahun ini berhasil meledak satu gol sekaligus membantu Malaysia mencatatkan kemenangan 4-2 di Hanoi.

Saingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 kali ini lebih hebat nampaknya, ketika sesi latihan skuad kebangsaan di Pusat Latihan Remaja VFF, dua hari lalu, Matyo diserbu wartawan dan pemberita dari negara tersebut dengan lebih ramai.

Foto: FAM

Menurut laporan daripada Bernama, Norshahrul sedia memberikan aksi lebih 100% jika diturunkan oleh ketua jurulatih Tan Cheng Hoe untuk memastikan Harimau Malaya dapat meraih kemenangan sekaligus membawa 3 mata penuh daripada Hanoi.

Bagaimanapun, beliau menuntut rakan sepasukannya yang lain mengambil sebarang peluang yang hadir di hadapan gawang untuk menjaringkan gol dan tidak berharap kepada dirinya sendiri seorang.

Selain daripada merobek gawang lawan, Matyo sedia mempertaruhkan pengalamannya untuk mengucar-kacirkan pertahanan lawan dan berharap kemenangan pada tahun 2014 dapat diulangi dalam perlawanan malam ini.

“Kemenangan pada 2014 itu adalah kenangan manis tetapi perlawanan Khamis (hari ini) berbeza, pasti saya akan berikan yang terbaik dan soal siapa menjaringkan gol itu tidak penting, bermain sebagai satu pasukan adalah keutamaan,” katanya.

Jentera serangan Malaysia akan turut serta dengan kehadiran bintang muda, Syafiq Ahmad yang telah merekodkan 5 jaringan dalam 3 perlawanan terakhirnya bersama skuad Harimau Malaya.

Selain itu, kem Harimau Malaya mendapat tonik tambahan dengan kehadiran semula penyerang naturalisasi yang menjaringkan 2 gol ketika menentang Indonesia, sepetember lalu dan dijangka akan turut serta dalam kesebelasan utama Malaysia pada aksi malam ini.

Feature Image: Football Association of Malaysia

Comments