Tiada pasukan yang kebal, Cheng Hoe yakin raih sesuatu di Hanoi

Hafizuddin Omar Hafizuddin Omar

Menjelang pertemuan menentang Vietnam pada aksi peringkat Kumpulan G saingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, ketua jurulatih Malaysia, Tan Cheng Hoe menanamkan keyakinan anak-anak buahnya mampu meraih sesuatu di Hanoi.

Walaupun tiga perlawanan menentang skuad Golden Dragon sebelum ini langsung tidak memihak kepada skuad kebangsaan, jurulatih berusia 51 tahun itu tetap yakin Vietnam mampu dikalahkan kerana tiada pasukan yang kebal buat selama-lamanya dalam dunia bola sepak.

Tambahan pula, keyakinan itu turut disuarakan selepas melihat peningkatan pemain-pemain dan skuad Harimau Malaya itu sendiri yang mencatatkan 2 kemenangan dan 2 kekalahan dalam 4 perlawanan sebelum ini. 

“Vietnam merupakan sebuah pasukan yang bagus dan jurulatihnya mempunyai strategi tersendiri untuk menghadapi perlawanan ini. Tetapi saya yakin untuk mendapatkan keputusan bagus di sini. Saya percaya setiap pasukan mampu dikalahkan dan kami mahu meraih kemenangan di Hanoi.

“Malaytsia akan bermain sepertimana kebiasaan, kami percaya dengan gaya permainan kami. Pemain-pemain amat fokus dan bersiap sedia dari segi mental dan tidak sabar menantikan perlawanan pada hari esok.” kata Tan Cheng Hoe semasa sidang media di Stadium Nasional My Dinh, sebentar tadi.

Semalam, pihak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah mengumumkan senarai 23 pemain yang dipilih Tan Cheng Hoe untuk beraksi menentang Vietnam yang juga juara Piala AFF Suzuki 2018. Senarai pemain-pemain yang terpilih adalah seperti berikut:

Penjaga Gol: Farizal Marlias, Hafizul Hakim dan Khairulazhan Khalid.

Pertahanan: Matthew Davies, Syahmi Safari, Adam Nor, Aidil Zafuan, Irfan Zakaria, Shahrul Saad, Dominic Tan, Corbin Ong dan Nazirul Naim.

Pemain Tengah:  Mohamadou Sumareh, Brendan Gan, Azzizan Nordin, Akram Mahinan, Syamer Kutty, Halim Saari, Akhyar Rashid, Safawi Rasid,

Penyerang: Danial Amier, Norshahrul Idlan dan Syafiq Ahmad

Berdasarkan kepada keputusan positif yang diraih ketika menentang Sri Lanka tempoh hari, dijangka Tan Cheng Hoe tidak akan melakukan perubahan besar dalam kesebelasan utamanya menentang Vietnam kelak.

Perlawanan akan berlangsung pada hari esok, sepak mula pada jam 9 malam waktu Malaysia. Siaran langsung akan disiarkan di RTM2 dan juga Astro Arena.

Foto: Football Association of Malaysia

Comments