Pengalaman Aidil jadi solusi kepincangan benteng Harimau Malaya

Hafizuddin Omar Hafizuddin Omar

Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe telah mengumumkan senarai 25 pemain yang terpilih untuk mengikuti Kem Latihan Pusat Harimau Malaya menjelang aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, semalam.

Perkara itu diumumkan menerusi laman sesawang rasmi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). Berdasarkan senarai tersebut, Tan Cheng Hoe dilihat memanggil dua nama baharu iaitu pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Aidil Zafuan Radzak dan pemain tengah Selangor, Abdul Halim Saari. Manakala penyerang Felda United, Hadin Azman digugurkan.

Nama Aidil Zafuan pantas menjadi topik perbincangan dalam kalangan penyokong Harimau Malaya. Bagaimanapun, melihatkan kepada skuad Harimau Malaya melepaskan lima gol mudah dalam tiga perlawanan terakhir, Tan Cheng Hoe mempunyai sebabnya tersendiri untuk memanggil pertahanan berusia 32 tahun itu.

“Aidil merupakan pemain berpengalaman tetapi kami belum menentukan samada dia akan tersenarai dalam kesebelasan utama ataupun tidak. Apa yang pasti, ini akan mencetuskan persaingan sihat dalam kalangan pemain di mana semua orang perlu menumpukan perhatian di setiap posisi,” kata Tan Cheng Hoe kepada New Straits Times.

Selain daripada memberikan persaingan sihat dalam kalangan pemain untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama, kemasukan Aidil juga akan memberikan lebih pilihan kepada Tan Cheng Hoe untuk menentukan gandingan pertahanan tengahnya menjelang pertemuan menentang Vietnam di Hanoi pada 10 september kelak.

Seperti kita sedia maklum, Vietnam yang menduduki tangga ke-99 ranking dunia terdiri daripada pemain-pemain yang memiliki kemahiran teknikal tinggi. Tiga pertemuan ketika saingan Piala AFF tahun lalu, skuad Harimau Malaya hanya merekodkan satu seri selain daripada dua kekalahan di tangan Vietnam.

Foto: Terengganu FC

“Setakat ini, Aidil beraksi baik bersama JDT, dan tahun lalu dia juga bermain baik dan membantu skuad kebangsaan dalam kejohanan Piala AFF Suzuki.

“Dengan pengalamannya, dia mampu memberi tunjuk ajar kepada pasukan. Ketika saya menonton dia bermain menentang Terengganu FC (dalam saingan Piala Malaysia, sabtu lalu), dia kelihatan cergas.” ujar Tan Cheng Hoe lagi.

25 pemain yang disenaraikan oleh Tan Cheng Hoe akan memulakan latihan pusat pada 30 september. Sebelum bertemu Vietnam, skuad negara akan mengharungi satu aksi pemanas badan menentang Sri Lanka pada 5 oktober di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Foto: Football Association of Malaysia

Comments