Lima Perkara: UAE kerja keras tumpaskan Malaysia

Khairul Nizam Khairul Nizam

Selepas memungut tiga mata dalam perlawanan pertama, Tan Cheng Hoe dan anak buahnya berdepan tugas paling sukar mereka berdepan pasukan ranking tertinggi dalam Kumpulan G, UAE. 

Satu persembahan yang membanggakan jika kita bandingkan ketika tewas 10-0 dahulu. Namun begitu, Bert Marwijk berjaya mengatasi Tan Cheng Hoe dari segi taktikal dan pengurusan perlawanan. Keputusan akhir: Malaysia 1-2 UAE

1.Line up berani Cheng Hoe

Hanya satu perubahan dilakukan oleh Tan Cheng Hoe dalam kesebelasan utamanya. Hero Malaysia di Bung Karno, Mohamadou Sumareh kembali ke kesebelasan utama pasukan. Biarpun ramai menjangka Akram Mahinan akan kembali beraksi di bahagian tengah, Cheng Hoe meneruskan kepercayaan kepada trio Brendan Gan, Azam Azih dan Syafiq Ahmad di bahagian tengah. Satu tindakan berani kerana nampaknya Malaysia akan kekal menyerang UAE dan tidak akan terlalu bertahan.

 

2.Harimau Bersayap bertekanan tinggi

Permulaan yang cukup bergaya buat Malaysia. Mungkin UAE tidak menjangka Harimau Malaya akan bermula garang. Malaysia benar-benar menekan UAE terutamanya daripada bahagian sayap. Satu hantaran daripada Matt Davies ditanduk cantik oleh Syafiq Ahmad untuk memberikan gol pendahuluan seawal minit pertama.

Malaysia menggunakan kelebihan di bahagian sayap. Gandingan Pahang-Pahang di sebelah kanan dan JDT-JDT di sebelah kiri nampak membantu Malaysia. Keserasian gandingan bek-pemain sayap di kedua-dua belah Malaysia banyak membantu terutamanya ketika situasi menyerang.

Sayang sekali buat Malaysia, ketika tinggal beberapa minit untuk separuh masa pertama tamat, bolos pula. UAE ketika itu mula selesa memegang bola dan mereka berjaya membuat pertahanan Malaysia terbuka. Satu hantaran di sebelah kiri disudahkan Ali Ahmed Mabkhout ketika pertahanan sedikit terleka.

 

3.UAE ikat sayap Malaysia

UAE mula menyedari bahaya yang datang dari sebelah kanan Malaysia. Di separuh masa kedua, mereka meletakkan tiga pemain untuk menutup ruang bagi mengelakkan Matt Davies membuat hantaran. UAE juga mula menyedari kelemahan Malaysia di sebelah kiri terutamanya Corbin Ong yang lambat turun setiap kali melakukan serangan balas. Brendan Gan beberapa kali terpaksa berlari ke posisi sebelah kiri Malaysia bagi menghalang serangan UAE.

Cheng Hoe menyedari kelemahan Malaysia di sebelah kiri dan dia memasukkan pemain sayap yang terkenal dengan kerja kerasnya, J. Partiban untuk memperbaiki kawasan itu. Sumareh sekali lagi ditugaskan menjadi penyerang menggantikan Norshahrul bagi memberi cabaran fizikal kepada pertahanan UAE.

 

4.Permainan psikologi UAE

Sekali lagi Tan Cheng Hoe menukar taktikalnya. Selepas memasukkan Partiban, dia menukarkan Sumareh dengan pemain versatile, Syamer Kutty untuk menambah tenaga di bahagian tengah. Syafiq Ahmad dengan tenaganya dan kelebihan menanduk bola diletakkan sebagai penyerang. Pertukaran terakhir Cheng Hoe adalah memasukkan Akhyar Rashid menggantikan Syafiq Ahmad. Safawi dan 

UAE sekali lagi mengambil peluang kesilapan Malaysia. Bermain ‘high line’ memang satu risiko dan Ali Mabkhout sekali lagi mengecewakan Malaysia. Di sebalik percubaan Adam dan Farizal untuk menghalangnya, dia menggunakan kekuatan fizikalnya untuk menolak masuk gol kedua UAE. Selepas mendahului 2-1, UAE menggunakan pelbagai cara untuk mengganggu mental pemain Malaysia dan melambatkan permainan bagi mengganggu rentak permainan.

 

5.Cheng Hoe perlukan plan B

Tidak salah untuk dikatakan bahawa Bert Mawijk telah mengatasi Tan Cheng Hoe dari segi taktikal terutamanya di separuh masa kedua. 

Dua kelemahan ketara Malaysia terserlah pada malam ini. Pemain pertahanan masih lagi melakukan kesilapan yang mengundang bahaya dan kita perlukan seorang ‘target man’. Di separuh masa kedua, kita tidak dapat menembusi pertahanan UAE sehinggalah minit-minit akhir. UAE membiarkan Malaysia bermain di bahagian sayap kerana itu akan menarik midfield Malaysia ke tepi. Peluang itu digunakan sebaiknya oleh mereka untuk menguasai bahagian tengah dan mereka juga boleh terus menghantar bola kepada Ali Mabkhout di depan.

Ini bukanlah kelemahan yang tidak boleh diperbaiki, tetapi Cheng Hoe perlu mencari penyerang yang boleh menjadi plan B untuknya.

Featured Image: FAM

Comments