“Omar memang hebat tetapi saya juga pemain bola sepak, saya mahu menang!” – Brendan Gan

Hafizuddin Omar Hafizuddin Omar

Pemain tengah kacukan Malaysia-Australia, Brendan Gan mengakui akan kehebatan pemain tengah skuad kebangsaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) samada beraksi di peringkat kelab domestik mahupun antarabangsa.

Bagaimanapun, sebagai seorang pemain bola sepak professional, kehebatan Omar Abdulrahman itu bukan halangan untuk beliau dan rakan-rakannya mencatatkan keputusan positif dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, malam esok.

“Sememangnya dia (Omar Abdulrahman) merupakan pemain yang hebat, kami telah memerhatikan dia bermain dan apa yang diraihnya selama ini. Anda perlu menghormatinya.

“Tetapi, pada masa yang sama, kami juga pemain bola sepak dan kami turun untuk menang. Bukan untuk seri atau kalah. Kami fokus kepada diri kami sendiri.” kata Brendan Gan di hadapan para wartawan.

Brendan Gan yang turut beraksi di posisi tengah sebagaimana Omar Abdulrahman turut menuntut rakan sepasukan untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada kekuatan diri sendiri berbanding individu-individu yang membarisi skuad UAE.

Baginya, tidak mustahil skuad Harimau Malaya mampu memberikan kejutan untuk mencatatkan kemenangan ke atas UAE yang menduduki ranking ke-65 dunia sekiranya bermain bersungguh-sungguh mengikut perancangan jurulatih, Tan Cheng Hoe.

“Jurulatih turut berkongsi tentang beberapa tonggak penting (UAE) tetapi pada akhirnya, semuanya akan ditentukan dengan seberapa bagus persembahan kami di atas padang ketika perlawanan.

“Sekiranya kami boleh merencanakan taktikal kami, kekal berdisiplin dan memberikan sepenuh usaha tiada sebab untuk kami berikan persembahan mantap ketika menentang UAE.” tambahnya lagi dengan penuh keyakinan.

Pada aksi menentang Indonesia di Jakarta, Brendan Gan antara tonggak Harimau Malaya yang beraksi cemerlang di atas padang sekaligus membantu Malaysia merekodkan kemenangan 3-2 pada khamis lalu.

Comments