Saya & rakan-rakan perlu menghormati Harimau Malaya – Omar Abdulrahman

Hafizuddin Omar Hafizuddin Omar

Pemain bintang Emiriah Arab Bersatu (UAE), Omar Abdulrahman nyata tidak memandang sebelah mata akan keupayaan skuad kebangsaan Malaysia menjelang aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, esok.

Walaupun UAE mencatatkan kemenangan 10-0 ke atas Malaysia pada empat tahun lalu, menduduki ranking ke-65 dunia dan mempunyai pasukan yang terdiri daripada pemain-pemain berkualiti, ianya langsung tidak membuatkan pemain attacking midfielder berusia 27 tahun ini meninggikan dirinya.

Pada pandangan Omar Abdulrahman, dunia bola sepak moden tidak selalunya memihak kepada pasukan gergasi. Banyak pasukan-pasukan kerdil semakin meningkat keupayaan dan kualiti mereka dan menjadi semakin kuat. Justeru, tidak mustahil pasukan seperti Malaysia juga mampu menewaskan pasukannya.

Malah, beliau sendiri telah melihat keupayaan dan kekuatan skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe ketika merakamkan kemenangan 3-2 ke atas Indonesia dalam pertarungan yang penuh dramatik di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta.  

“Kemenangan (10-0) itu saya sudah lupakan, saya dan rakan sepasukan percaya bola sepak moden berubah dari sehari ke sehari. Kami sendiri telah melihat pasukan Malaysia beraksi dengan baik menentang Indonesia dalam perlawanan lalu. Kami perlu menghormati akan lawan kami, pasukan Malaysia.” katanya dalam sidang media di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Skuad UAE kendalian Bert van Marwijk pada ketika ini dipenuhi dengan ramai pemain-pemain muda. Ketika ditanya oleh wartawan, apakah nasihat beliau selaku pemain senior kepada pemain-pemain tersebut?

Beliau menjawab dengan penuh berhemah, “Saya tidak menganggap pemain-pemain yang dapat bermain di peringkat kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia sebagai pemain muda, mereka semua adalah pemain-pemain utama. 

“Secara peribadi, saya tak boleh nasihatkan mereka kerana mereka sudah tahu apa yang perlu dilakukan dan apa yang perlu dijangkakan.”

Foto: UAE FA

Comments