Bert van Marwijk telah analisa corak permainan Malaysia ketika menentang Indonesia

Hafizuddin Omar Hafizuddin Omar

Ketua jurulatih Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bert van Marwijk mengakui turut menonton aksi melibatkan skuad kebangsaan menentang Indonesia secara langsung di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta pada khamis lalu.

Beliau nyata membuat persiapan rapi sebelum menentang Malaysia dengan terbang ke sana untuk mengalisa corak permainan Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe di segenap posisi termasuk memerhatikan kemampuan teknikal pemain-pemain Malaysia dalam perlawanan tersebut.

Bert van Marwijk yang merupakan bekas ketua jurulatih Belanda suatu masa lalu melihat Malaysia sebagai sebuah pasukan yang berkualiti dan berkemampuan untuk melakukan serangan pantas. 

“Kami telah ke Indonesia menonton perlawanan tersebut, mereka mempunyai keyakinan, bertenaga, serta bermain dengan tempo tinggi. Malaysia juga mempunyai beberapa pemain mempunyai kemahiran teknikal yang bagus dan kepantasan.

“Kami perlu memberikan tumpuan penuh dan berdisiplin, ianya bukan perlawanan yang mudah untuk kami. Tetapi saya telah bersama pasukan sejak beberapa minggu lalu dan menaruh keyakinan tinggi kepada pasukan saya.” kata Bert van Marwijk dalam sidang media tengah hari tadi.

Walaupun turun dengan reputasi yang besar iaitu sebuah pasukan yang berada di ranking ke-65 dunia, jurulatih berpengalaman itu jelas tidak mengambil mudah akan lawannya yang sekadar sebuah pasukan kerdil yang menduduki tangga ke-159 menjelang perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 ini.

Beliau turut ditanya oleh wartawan tempatan mengenai rekod kemenangan besar 10-0 skuad kebangsaan UAE ke atas Malaysia pada empat tahun yang lalu. Jurulatih kelahiran Belanda itu hanya menjawab, “Saya tak ambil kisah keputusan yang lalu, saya tak memikirkannya langsung.”

Bert van Marwijk turut berkongsi bahawa pasukan UAE ketika ini dibarisi oleh ramai pemain-pemain muda dan ini merupakan generasi baharu skuad The Whites.

Comments