Hiraukan reputasi Bert van Marwijk, fokus kekang jentera serangan UAE – Tan Cheng Hoe

Hafizuddin Omar Hafizuddin Omar

Ketua jurulatih skuad kebangsaan Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bert van Marwijk merupakan seorang jurulatih kelahiran Belanda yang memiliki reputasi dan rekod cemerlang dalam pentas kejurulatihan bola sepak peringkat antarabangsa.

Beliau yang berusia 67 tahun menjadi individu penting yang membawa Arab Saudi kembali ke pentas Piala Dunia 2018 selain daripada membimbing Australia di pentas Piala Dunia edisi yang sama.

Pencapaian terbaiknya adalah memimpin skuad kebangsaan Belanda mara ke pentas final Piala Dunia 2010. Tetapi tuah tidak menyebelahinya apabila Belanda tewas 1-0 kepada Sepanyol hasil jaringan Andres Iniesta dalam satu perlawanan yang penuh dramatik di Soccer City, Johannesburg.

Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe turut mengambil maklum akan reputasi dan rekod Bert van Marwijk tetapi perkara tersebut tidak menjadi kegusaran utamanya menjelang aksi kedua menentang UAE pada kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 melibatkan Kumpulan G. 

“Dia memiliki rekod sangat baik apabila pernah membawa Belanda melangkah ke final Piala Dunia 2010, tetapi tewas kepada Sepanyol dan turut membimbing Arab Saudi kembali beraksi pada Piala Dunia.

“Reputasinya cukup besar dan pendekatan dia juga berbeza apabila menyenaraikan lebih ramai pemain muda bawah 23 tahun dan ini sudah pasti memberi kita satu cabaran cukup sukar.

“Apapun lebih penting pemain kena memberi fokus sepenuhnya dan kita perlu berwaspada dengan jentera serangan UAE yang memiliki kualiti cukup baik dan barisan pertahanan kita tidak boleh melakukan kesilapan mudah,” kata Tan Cheng Hoe seperti dipetik daripada Utusan Online.

Ketika ini, skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe berada dalam motivasi terbaik selepas merekodkan kemenangan 3-2 ke atas Indonesia dalam aksi penuh emosi dan provokasi di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, khamis lalu.

Namun, bergantung dengan motivasi itu sahaja pastinya tidak mencukupi lebih-lebih lagi berdepan pasukan UAE yang berada di ranking ke-65 dunia. Tambahan pula, Malaysia mempunyai rekod buruk tewas 10-0 dan 2-1 di tangan UAE pada tahun 2015 lalu.

Bagaimanapun, Tan Cheng Hoe melontarkan nada yang positif dan optimis anak-anak buahnya mampu mengatasi cabaran menentang UAE yang dijadualkan pada selasa ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Kalau ikut rekod 2015 ia agak menyedihkan dalam bola sepak negara, tapi seperti saya maklumkan kita perlu pandang ke depan kerana sekarang pemain dan jurulatih berbeza selepas empat tahun,” katanya lagi.

Foto: Football Association of Malaysia

Comments