Skuad UAE tiba awal untuk sesuaikan diri dengan cuaca Malaysia

Hafizuddin Omar Hafizuddin Omar

Skuad kebangsaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) tiba seawal 5 september lalu sebagai persiapan awal untuk menyesuaikan diri dengan cuaca, perbezaan waktu dan juga faktor-faktor lain yang boleh mempengaruhi prestasi pemain menentang Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelak.

Penyelia pasukan tersebut, Dr. Hassan Suhail berkata persiapan awal ini penting bagi memastikan barisan kejurulatihan dapat mempersiapkan pemain baik daripada segi fizikal dan mental sebelum bertemu skuad Harimau Malaya lebih-lebih di gelanggang mereka sendiri.

“Semua orang tahu betapa pentingnya aksi sulung dalam pusingan kelayakan ini, permulaan bagi pasukan kebangsaan, dan saya percaya dengan mendapatkan keputusan positif ketika menentang Malaysia akan menjadi motivasi yang kuat untuk semua (pemain dan jurulatih) dalam mengharungi baki perlawanan menentang pasukan lain di dalam kumpulan ini, dimana kesemuanya bercita-cita untuk mara ke peringkat berikutnya.” kata Dr. Hassan Suhail menerusi laman sesawang rasmi Persatuan Bola Sepak UAE.

Untuk makluman, skuad kebangsaan UAE dibimbing oleh Bert van Marwijk, individu yang membawa Belanda muncul naib juara kejohanan Piala Dunia 2010 Afrika Selatan. Untuk aksi sulung pusingan 2 kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, beliau telah menyenaraikan 25 pemain dan salah seorangnya merupakan pemain bintang, Omar Abdul Rahman.

Perlawanan di antara UAE dan Malaysia dijadualkan pada 10 september (selasa) dengan sepak mula pada jam 8.45 malam.

Foto: UAE FA

Comments