Menteri Belia & Sukan Indonesia mohon maaf atas insiden keganasan di Stadium GBK

Hafizuddin Omar Hafizuddin Omar

Menteri Belia & Sukan Indonesia (Menpora), Imam Nahrawi memohon maaf kepada rakyat Malaysia atas insiden keganasan di Stadium Utama Gelora Bung Karno (GBK), pada malam tadi.

Beliau mengucapkan permohonan maaf tersebut ketika dilawati oleh Menteri Belia & Sukan Malaysia, YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan ucapan maafnya itu turut dimuatnaik menerusi laman sosialnya.

“Alhamdulillaaaaah… atas nama pemerintah dan supporter Indonesia mohon maaf kepada Yth Pak Menpora @syedsaddiq dan rakyat Malaysia atas peristiwa semalam di GBK dan beliau memaafkan dengan diikuti harapan tindakan adil bagi oknum supporter yg telah mencoreng persepakbolaan nasional. 

“Sepakbola menyatukan kita selamanya, dan terus kita jaga hubungan baik, erat dan keluarga kita dengan Malaysia selamanya juga.” katanya menerusi entri di laman Facebook rasminya.

Syed Saddiq yang turut bersama-sama penyokong Malaysia di Stadium GBK pada malam tadi menyambut positif permohonan maaf rakan sejawatannya di republik tersebut. Beliau mengharapkan tindakan yang sewajarnya dikenakan kepada segelintir penyokong tuan rumah yang terlibat melakukan keganasan tersebut.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Pak Iman, Pak Imam telah menyatakan akan memastikan siasatan akan dilakukan dengan adil. 

“Pada masa yang sama, kita nak pastikan bahawan Malaysia dan Indonesia tetap akan bersama. Jangan kerana segelintir, kita lupakan persahabatan kita. Pastikan keadilan itu ada dan keadilan di antara kita tetap bersama.” kata Syed Saddiq menerusi video ringkas yang dimuatnaik pada entri yang sama.

Comments