Pemain Malaysia hargai semangat #Ekor Harimau Malaya

Hafizuddin Omar Hafizuddin Omar

Selepas tamat aksi di antara Indonesia dan Malaysia semalam, beberapa pemain Harimau Malaya merakamkan penghargaan kepada penyokong atau lebih dikenali sebagai Ekor yang turun memberikan sokongan di Stadium Utama Gelora Bung Karno.

Seperti sedia maklum, berlaku kekecohan di stadium sebelum, ketika dan selepas perlawanan. Mereka dibaling objek keras seperti batu, besi dan tidak kurang juga cubaan menyerang oleh beberapa penyokong Indonesia ketika perlawanan berlangsung.

Keadaan bertambah getir etelah tamat perlawanan, dimana terdapat kalangan penyokong Indonesia yang melakukan rusuhan sehingga memaksa para penyokong Malaysia dikumpulkan dalam ruangan VIP menantikan kekecohan di luar stadium reda seketika.

Akhyar Rashid, Brendan Gan, Matthew Davies, Akram Mahinan serta Mohamadou Sumareh merakamkan penghargaan menerusi akaun media sosial masing-masing kepada para penyokong atas semangat mereka turun memberikan sokongan kepada skuad kebangsaan di Jakarta.

Sementara itu, skuad Harimau Malaya dan barisan kejurulatihan terpaksa diangkut keluar stadium dengan menaiki kereta perisai. Sebanyak empat buah Barracuda digunakan oleh pihak keselamatan republik tersebut dan kesemuanya selamat tiba di hotel pada jam 11.22 malam tadi.

Foto: FAM

Comments