Keganasan di Stadium GBK, Syed Saddiq akan buat laporan kepada kerajaan Indonesia

Hafizuddin Omar Hafizuddin Omar

Menteri Belia dan Sukan, YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang hadir ke Stadium Geloran Bung Karno (GBK) menyaksikan perlawanan di antara Indonesia dan Malaysia mengatakan akan membuat laporan berkenaan keganasan penyokong tuan rumah kepada kerajaan Indonesia.

Ketika perlawanan berlangsung, penyokong-penyokong Malaysia telah dilontarkan beberapa objek keras ke arah mereka serta cubaan segelintir penyokong tuan rumah cuba menyerang kawasan tempat duduk mereka.

Disebabkan perkara tersebut, pengadil perlawanan dari Republik Korea, Ko Hyungjin turut bertindak memberhentikan perlawanan hampir 10 minit pada babak kedua sebelum menyambung kembali aksi tersebut apabila keadaan sedikit terkawal.

“Sebentar tadi saya bersama penyokong-penyokong Harimau Malaya menyaksikan Kelayakan Piala Dunia di Stadium Gelora Bung Karno. 

“Objek besi, botol dan suar dicampak kepada kami beberapa kali. Terdapat juga beberapa penyokong Indonesia juga cuba merempuh kawasan Malaysia dan perlawanan terpaksa dihentikan seketika.” kata Syed Saddiq yang turut serta di tempat duduk penonton Malaysia.

Sementara itu, beliau juga telah dimaklumkan bahawa pihak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan membuat aduan kepada badan bola sepak antarabangsa di samping beliau sendiri akan melanjutkan perkara berkenaan kepada kerajaan republik tersebut.

“Saya dimaklumkan FAM bahawa mereka akan membuat aduan rasmi kepada FIFA. Saya juga akan membuat laporan rasmi kepada kerajaan Indonesia dan rakan sejawatan saya di sana.

“Gangsterism tidak akan ditolak ansur dalam apa jua cara. Keselamatan pemain dan penyokong Malaysia adalah keutamaan saya.

“Ketika ini saya masih lagi bersama-sama dengan penyokong Malaysia ditempatkan di dalam stadium sementara menanti keadaan di luar reda sebelum kami boleh pulang. 

“Kejadian ini amat menyedihkan buat industri sukan bolasepak yang sepatutnya menjadi medium penyatuan. Saya berjanji akan menuntut keadilan bagi rakyat Malaysia.” tambahnya lagi.

Dalam perlawanan tersebut, Malaysia berjaya merakamkan kemenangan 3-2 ke atas Indonesia hasil dua jaringan oleh pemain naturalisasi, Mohamadou Sumareh dan Syafiq Ahmad. Manakala, dua gol Indonesia pula dihasilkan oleh Beto Goncalves.

Comments