Player Rating: Supersub Sumareh & Syafiq terkam Sang Garuda di Kota Jakarta

Hafizuddin Omar Hafizuddin Omar

Malaysia berjaya mencatatkan kemenangan 3-2 ke atas Indonesia dalam aksi Kumpulan G, pusingan ke-2 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta, sebentar tadi.

Berikut adalah rating yang diberikan kepada pemain-pemain skuad Harimau Malaya oleh FOX Sports:

GK: Farizal Marlias – 6/10

Aksi Farizal di hadapan gawang baik dan sayangnya beliau bolos dua gol hasil kesilapan benteng pertahanan.

 

RB: Matthew Davies – 6.5/10

Foto: FAM

Gagal mengekang Andik Vermansah menyebabkan bekas pemain Kedah dan Selangor itu berhasil menolak bola kepada Alberto Goncalves untuk gol kedua Indonesia. Aspek pertahanan tidak begitu mantap tetapi Matt Davies banyak membantu ketika menyerang.

 

CB: Shahrul Saad – 7/10

Persembahan mantap oleh pertahanan Perak ini dan memberikan kesukaran kepada pemain Indonesia untuk melepasinya. Seperkara lagi, Shahrul banyak menutup beberapa kesilapan oleh Adam Nor Azlin.

 

CB: Adam Nor Azlin – 5/10

Tidak berada pada prestasi terbaiknya dalam perlawanan pada malam ini. Acap kali tertewas kepada pemain lawan. Penghujung babak kedua, permainan beliau sedikit baik dan lebih tenang dalam melakukan hantaran daripada bawah. 

 

LB: La’vere Corbin-Ong – 6/10

Foto: FAM

Kesilapan membaca gerakan Saddil menyebabkan pemain itu dapat melorongkan bola kepada Beto Goncalves. Sama seperti Davies, agak kelam-kabut ketika bertahan tetapi memberikan nilai tambah kepada Malaysia ketika menyerang. 

 

MF: Brendan Gan – 7/10

Foto: FAM

Aksinya tidak begitu menonjol tetapi Brendan Gan banyak mematikan gerakan-gerakan pemain tengah Indonesia di bahagian tengah.

 

MF: Azam Azih – 7/10

Foto: FAM

Aksi cemerlang ditampilkan oleh Nor Azam Azih dibahagian tengah. Long pass yang dilakukan Azam berjaya mencari pemain-pemain sayap. Babak awal kurang memberangsangkan tetapi dia semakin tenang pada babak kedua membolehkan Malaysia merencanakan bahagian tengah baik.

 

AMR: Safawi Rasid – 7/10

Foto: FAM

Sungguhpun tidak menjaringkan gol, Safawi telah memberikan banyak ancaman kepada gawang Indonesia. Pemain sayap JDT ini juga bertukar-tukar posisi dengan Sumareh di kedua-dua bahagian sayap dengan baik.

 

AMF: Syafiq Ahmad – 7.5/10

Menjaringkan gol penyamaan kedua buat Malaysia pada babak kedua. Syafiq juga membantu di bahagian tengah Malaysia dan turut melakukan beberapa long pass yang efektif kepada bahagian sayap.

 

AML: Hadin Azman – n/a

Tidak begitu memberikan impak dan dia dikeluarkan oleh Tan Cheng Hoe pada minit ke-35.

 

FW: Norshahrul Idlan Talaha – 5/10

Foto: FAM

Matyo bukanlah beraksi di bawah par tetapi penyerang senior ini kurang mendapat suapan daripada rakan sepasukan. Norshahrul dikeluarkan pada minit ke-66. 

 

Pemain Gantian

AML/AMR: Mohamadou Sumareh – 8.5/10

Masuk pada minit ke-35 menggantikan Hadin Azman. Tidak sampai seminit dimasukkan, Sumareh memberikan gol penyamaan buat Malaysia. Pada babak kedua, banyak gerakan menyerang berpunca daripada Sumareh. Dan pemain naturalisasi kelahiran Gambia ini turut menjaringkan gol kemenangan buat Harimau Malaya pada masa kecederaan.

 

AML: Akhyar Rashid – 5/10

Masuk pada minit ke-66 menggantikan Norshahrul Idlan Talaha. Akhyar berjaya melakukan beberapa gerakan ke dalam kotak penalti tetapi banyak dipintas oleh pihak lawan di dalam kotak penalti. 

 

MF: Syamer Kutty – n/a

Masuk pada minit ke-82 menggantikan Syafiq Ahmad. Ada satu situasi yang hampir-hampir memberikan gol kepada Malaysia. Selain itu, tidak banyak yang dilakukannya.

Foto: FAM

Comments