Hamidin : Usaha dan kerja keras Tunku Ismail mula menampakkan hasil

Muhammad Aiman Muhammad Aiman

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Dato’ Hamidin Mohd Amin nyata cukup teruja dengan langkah kanan pasukan negara dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dengan menewaskan Indonesia 3-2 di Stadium Utama Gelora Bung Karno pada Khamis lalu.

Sambil berterima kasih kepada semua ahli gabungan FAM yang telah memberikan kerjasama kepada Tan Cheng Hoe untuk membentuk sebuah pasukan mantap, Hamidin turut memberikan penghargaan khas kepada DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Sultan Ibrahim kerana menurutnya kejayaan yang dikecapi pada hari ini datang daripada falsafah dan usaha baginda ketika menjadi Presiden FAM sebelum ini.

“Idea serta revolusi bola sepak yang diperkenalkan Tunku Ismail kini sudah mula menampakkan hasil menerusi kesinambungan yang dilakukan FAM termasuk pemilihan Cheng Hoe yang dibuat oleh baginda sebelum ini telah membuktikan bahawa ia adalah tepat kerana skuad Harimau Malaya kini semakin hari semakin meningkat prestasi dan persembahannya di bawah kendalian Cheng Hoe.

“Seterusnya, kehadiran pemain naturalisasi dan pemain berdarah campuran turut nampaknya telah membantu menambah kekuatan skuad Harimau Malaya menerusi gandingan yang cukup baik di antara mereka bersama barisan pemain tempatan sedia ada dan usaha memperkasakannya akan saya teruskan demi meningkatkan lagi kedudukan bola sepak negara kita.

“Apa pun, semua ini masih terlalu awal. Kita perlu bersedia dan lebih fokus untuk mempersiapkan pasukan bagi mengharungi perlawanan-perlawanan akan datang. Banyak lagi kerja yang perlu dilakukan secara bersama oleh semua pihak yang terlibat dan usaha ini tidak boleh berhenti jika kita mahu melihat bola sepak Malaysia terus maju dan meningkat,” ujar Hamidin.

Harimau Malaya yang sedang menerajui Kumpulan G dengan tiga mata selepas ini akan menentang pasukan pilihan Emiriah Arab Bersatu pada 10 September di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Foto : Sportflex Malaysia/Adam Ghazali

Comments