Yusoff Mahadi : Pemain tempatan sahaja tidak cukup jika mahu gegar Asia, sebab itu perlunya naturalisasi

Muhammad Aiman Muhammad Aiman

Kudrat pemain tempatan sahaja tidak memadai sekiranya pasukan bolasepak kebangsaan mahu muncul antara pasukan disegani di rantau Asia dan itu sebab pengambilan pemain-pemain ‘import’ melalui program naturalisasi dilihat sebagai langkah penting untuk menambah kekuatan Harimau Malaya.

Demikian tegas Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Program Naturalisasi sekaligus mempertahankan pelaksanaan program itu yang mula menimbulkan kebimbangan ramai betapa skuad kebangsaan bakal ‘hilang identiti’ sebenar dalam masa sama mengehadkan peluang anak tempatan menyarung jersi Malaysia.

Menurut Yusoff, program naturalisasi bukan sahaja bertujuan memberi manfaat kepada pasukan kebangsaan tetapi secara tidak langsung dapat membantu perkembangan pemain-pemain tempatan.

“Kita bukan memperkecilkan kemampuan pemain tempatan tetapi saya harap ini dapat membantu meningkatkan kemahiran mereka. Kita lihat ada keperluan untuk ambil pemain import kerana sekarang kita fikir Harimau Malaya bukan setakat mahu bersaing di ASEAN sahaja tetapi kita juga mahu bersaing di peringkat Asia, jadi kalau kita hanya tunggu pemain tempatan semata-mata mungkin akan ambil masa lagi panjang.

“Kalau mahu bersaing di Asia, kita akan berdepan pasukan gergasi dan untuk itu, kita perlu menyediakan pemain yang berkualiti dan menepati standard Asia. Sebab itulah FAM berpendapat perkara ini sebagai satu keperluan.

“Sekarang pun saya tengok ada perubahan dalam pemain tempatan mungkin disebabkan unsur pemain berdarah campuran dan naturalisasi dalam skuad kebangsaan. Ia membangkitkan moral pemain tempatan untuk menyamai kemampuan mereka,” kata Yusoff.

Sebagai rekod, skuad kebangsaan setakat ini mempunyai pemain kelahiran Gambia, Mohamadou Sumareh sebagai pemain naturalisasi dan dia akan disertai oleh pemain Johor Darul Takzim, Liridon Krasniqi selepas pemain kelahiran Kosovo itu mendapat lampu hijau daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Liridon yang pernah mewakili Kedah dan Melaka baru sahaja mendapat kewarganegaraan Malaysia pada 3 Februari lalu manakala Sumareh pula telah menyarung jersi Harimau Malaya sejak 2018.

Foto : FAM

Comments