FIFA belum beri kata putus permohonan Liridon dan De Paula sarung jersi Harimau Malaya

Muhammad Aiman Muhammad Aiman

Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) belum memberi kata putus mengenai permohonan pertukaran status dua pemain import kepada naturalisasi bagi membolehkan mereka menyarung jersi Harimau Malaya.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Stuart Ramalingam memberitahu berlaku sedikit kelewatan kerana FIFA memerlukan dokumen tambahan bagi menyokong permohonan penukaran status dua pemain itu, yang mana sudahpun dilengkapkan oleh FAM.

“Sekarang kita tunggu maklumbalas FIFA. Biasanya mereka akan mengambil masa seminggu atau dua minggu dan saya jangka mungkin pertengahan Februari kita akan dapat maklumbalas. Sebelum ini kita sudah hantar dokumentasi dan sekarang ini adalah dokumen tambahan. Kita memerlukan maklum balas daripada negara (asal pemain), seperti dari Kosovo untuk Liridon dan Brazil (De Paula).

“Kita juga memerlukan dokumen daripada pihak ketiga yang mungkin kadang-kadang tak sepantas yang kita mahu. Jadi semua dokumen itu sudah kita terima pada hujung tahun lalu,” katanya kepada BH Online.

Sebagai rekod, Liridon dan De Paula telah bermain dan menetap di Malaysia selama lima tahun, yang mana merupakan antara kriteria ditetapkan FIFA.

Liridon yang pernah menyarung jersi Kedah dan Melaka United, tahun ini akan bersama Johor Darul Takzim manakala De Paula pula telah bermain dengan Selangor, PDRM serta Kuala Lumpur dan tahun ini menyarung jersi Perak.

Andai permohonan menaturalisasikan Liridon dan De Paula diluluskan, dua pemain itu dijangka akan dapat diturunkan Tan Cheng Hoe dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Emiriah Arab Bersatu pada bulan Mac nanti.

Foto : Kedah FA

Comments