Cheng Hoe pertahan tarikh sepak mula Liga-M, anggap tidak jejas persiapan Harimau Malaya

Muhammad Aiman Muhammad Aiman

Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menolak tanggapan bahawa tirai saingan Liga Malaysia 2020 yang dibuka lewat akan menjejaskan persiapan skuad kebangsaan untuk beraksi di pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Malaysian Football League (MFL) baru-baru ini menetapkan tarikh sepak mula Liga Malaysia adalah pada 28 Februari depan dengan berlangsungnya perlawanan Piala Sumbangsih yang menemukan juara Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) dan juara Piala FA, Kedah.

Pasukan kebangsaan pula akan turun menentang Emiriyah Arab Bersatu (UAE) di Dubai pada 26 Mac depan iaitu kurang empat minggu selepas liga membuka tirai, manakala Cheng Hoe sudah pastinya perlu mengumpulkan pemain-pemainnya paling tidak, dua minggu sebelum itu sekaligus menimbulkan keraguan boleh atau tidak pemain-pemain mendapatkan prestasi terbaik mereka dalam tempoh singkat.

Mengulas lanjut, Cheng Hoe berkata dia sudahpun duduk berbincang bersama-sama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan MFL dengan mengambil kira pelbagai faktor sebelum menetapkan tarikh sepak mula, dan percaya tiada masalah untuk pemain-pemain mendapatkan momentum terbaik dalam masa yang ada baik di saingan liga dan pasukan kebangsaan.

“Kami di bahagian pengurusan FAM dan MFL memang selalu berbincang mangenai jadual pasukan baik untuk saingan Liga Malaysia dan skuad kebangsaan. Dalam masa yang sama, saya mendapat maklum balas yang baik daripada MFL dan kami pun sama-sama bersetuju dengan keputusan tersebut.

“Saya juga selalu mengingatkan kepada pemain-pemain bahawa mereka kena pandai selaraskan masa dan sesuaikan diri dengan cepat dalam suasana ketika aksi dalam liga dan pasukan kebangsaan. Saya sebagai jurulatih sentiasa positif bahawa prestasi pemain-pemain akan terus konsisten sebaik sahaja liga bermula dan saya juga tidak mahu mereka berasa terlalu padat dengan jadual kemudian cepat penat di kemudian hari”, jelasnya.

Sebagai rekod, skuad Harimau Malaya kini berada di tangga kedua Kumpulan G dengan sembilan mata selepas mencatat tiga kemenangan.

Harimau Malaya perlu mengharungi baki tiga lagi perlawanan penting pada tahun hadapan bermula dengan perlawanan berdepan UAE diikuti Vietnam pada 31 Mac sebelum menamatkan saingan kumpulan menentang Thailand pada bulan Jun.

Foto : NSTP

Comments