FAM tidak mahu terburu-buru senaraikan Dion Cools

Muhammad Aiman Muhammad Aiman

Beberapa hari lalu, pemain berdarah campuran Malaysia-Belgium, Dion Johan Cools seolah memberi gambaran bahawa dia berminat bermain untuk pasukan kebangsaan, dengan memuatnaik gambarnya memakai jersi Harimau Malaya di instagram peribadinya yang pantas menjadi bualan ramai.

Diajukan mengenai kemungkinan pemain pertahanan kanan itu akan dipanggil untuk memperkuatkan pasukan kebangsaan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), ini jawapan Setiausaha Agungnya, Stuart Ramalingam.

“Sudah tentu ia satu petanda baik jika dia berminat mewakili Malaysia, kita akan cuba berhubung dengannya dan melihat jika ada sebarang peluang untuk membawanya bermain dengan kita, tetapi semua perlu tahu Dion Cools sudah tidak boleh lagi disenaraikan untuk pusingan kedua kelayakan Piala Dunia/Piala Asia.

“Jadi kita tidak akan terburu-buru dan dan akan mencari masa sesuai untuk membincangkan perkara ini, tahun depan selepas Mac kita tengok nanti macam mana perkembangannya. Dan sekiranya dia berminat, jabatan naturalisasi akan mengkaji proses dan prosedur untuk membolehkannya mewakili negara,” kata Stuart.

Dion Cools yang ketika ini mewakili Club Brugge di Liga Jupiler Belgium, pernah bermain untuk setiap skuad peringkat umur Belgium namun sehingga kini tidak pernah dipanggil Roberto Martinez untuk memperkuatkan pasukan senior.

Selagi pemain itu tidak membuat penampilan dengan pasukan senior, selagi itu dia mempunyai peluang untuk menyarung jersi Harimau Malaya. Bagaimanapun skuad kendalian Tan Cheng Hoe setakat ini tiada keperluan mendesak di posisi pertahanan kanan yang sedang didominasi oleh Matthew Davies dan sebagai ‘back-up’ kepadanya ada Syahmi Safari.

Foto : Club Brugge

 

 

 

Comments