Bekas pemain kebangsaan kongsi pendapat dengan Hamidin tentang cara tingkatkan prestasi Harimau Malaya

Muhammad Aiman Muhammad Aiman

Beberapa bekas pemain kebangsaan telah berpeluang untuk berkongsi pendapat dan idea di dalam melonjakkan prestasi skuad bolasepak kebangsaan bersama Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin dalam satu perjumpaan khas di Wisma FAM pada Rabu.

Antaranya adalah Datuk Santokh Singh, Dato’ Soh Chin Aun, Datuk Hassan Sani, Dato’ Jamal Nasir Rasdi, Zainal Abidin Hassan, Khalid Ali, Azman Adnan, Stanley Bernard, K.Gunalan, Malek Rahman dan Asmawi Bakiri.

“Pengalaman kami selaku orang lama dalam bola sepak kini didengar demi bola sepak negara, terima kasih Datuk Hamidin,” kata Santokh yang merupakan ‘kereta kebal’ pasukan negara di era 70-an.

“Setiap dari kami melontarkan idea secara telus sebentar tadi. Namun bagi pendapat saya, kita perlukan ‘back-up’ team untuk memastikan kelangsungan pemain setiap kali perlawanan, contohnya team A dan team B yang dua-dua sama kuat.

“Itu bermaksud kita tidak perlu risau andai kata ada pemain cedera, sebagai contoh jika Azam Azih cedera kita terus ada seorang lagi pemain miripnya sebagai ganti tanpa membuang masa,” kata Santokh yang ditemui selepas sesi perjumpaan tersebut.

Menurut Chin Aun pula, “Semua yang hadir adalah pemain terbaik dari generasi berbeza. hari ini kita bukan sahaja dapat ‘reunion’ malah sama-sama dapat berdebat, berbincang memberi pandangan masing-masing kerana bola sepak ini terutama peraturannya sering berubah mengikut peredaran zaman, maka untuk dibandingkan cara kami dahulu dan sekarang lain.

“Maka kami berbesar hari kerana diberi peluang membantu pasukan kebangsaan dari segi memberi pendapat dan idea terbaik untuk skuad kebangsaan.

“Setiap dari kami tadi mempunyai pandangan berbeza. Cuma bagi saya kita tidak jauh beza dengan Thailand dan Vietnam, yang mana standard pemain kita mampu setara dengan mereka cuba perlu baiki lagi.”

Sementara itu, Datuk Hassan Sani berkata jemputan julung kali seumpama ini bagus dalam usaha membincangkan lagi medium terbaik demi kejayaan konsisten pasukan kebangsaan.

“Masing-masing beri pandangan yang baik sebentar tadi. Namun bagi saya apa yang penting bagi kami ialah pemain itu sendiri perlu menyarung jersi Harimau Malaya benar-benar demi negara. Jadi pemain yang ada sekarang ini, mainlah demi negara, fokus dan anda perlu berani.

“Skuad kebangsaan kita sebenarnya ada peningkatan daripada Thailand, Vietnam dan Singapura, kita cuma perlu fokus untuk konsisten. Zaman kami dahulu bukan mudah untuk bermain dalam skuad kebangsaan, jadi kami main betul-betul untuk negara, sanggup mati dan lakukan apa sahaja. Pemain juga perlu lebih cergas dan disiplin,” katanya yang pernah mendapat jolokan ‘lipas kudung’ negara kerana ketangkasannya di padang.

Bagi Datuk Hamidin pula, input yang diperoleh dari pertemuan ini umpama ‘brainstorming’ untuk membantu memberi buah fikiran memartabatkan lagi bola sepak negara.

“Sesi ini membuka ruang untuk setiap bekas pemain yang hadir menyuarakan pandangan secara telus dan terbuka dalam usaha bersama memajukan serta memperbaiki lagi prestasi skuad bola sepak kebangsaan. Perbincangan bersama bekas pemain seumpama ini adalah yang pertama kali diadakan, hasilnya sangat bernas dan kami akan mengguna pakai pandangan mereka untuk memperbaiki lagi skuad kebangsaan,” kata Datuk Hamidin.

Foto : FAM

Comments