Belanjawan 2020, cabaran NFDP untuk lahirkan lebih ramai Luqman Hakim

Khairul Nizam Khairul Nizam

Satu Luqman Hakim sahaja tidak cukup.

Ekoran kejayaan skuad muda negara terutamanya Luqman Hakim Shamsudin yang berjaya menarik minat pasukan luar negara, misi seterusnya buat Malaysia adalah melahirkan lebih ramai pemain sepertinya.

Nampaknya itulah visi dan misi baru buat bolasepak negara apabila RM45 juta telah diperuntukkan kepada Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) seperti diumumkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam pembentangan Belanjawan 2020, semalam.

Jumlah tersebut adalah tiga kali ganda berbanding peruntukan untuk tahun 2019 dan menurut Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman peruntukan tersebut akan banyak membantu anak muda untuk berkecimpung dalam bidang sukan terutamanya bolasepak.

“Ini akan memberi impak kepada lebih 80,000 anak muda terutama di luar bandar agar boleh dimasukkan ke dalam ekosistem sukan supaya kita dapat melahirkan lebih ramai pemain seperti Luqman yang kini disenaraikan dalam senarai 60 pemain bola sepak muda terbaik dunia,” kata Syed Saddiq seperti dilaporkan Harian Metro.

Pemain skuad bawah 19 tahun negara itu telah berjaya menarik perhatian kelab luar dan sebelum ini telah menjalani latihan bersama kelab Jepun tetapi disambar oleh kelab Belgium, KV Kortrijk yang bakal mendapatkan pemain tersebut bermula tahun hadapan.

Skuad bawah 19 tahun negara sedang dalam rangka persiapan untuk menghadapi pusingan Kelayakan Kejohanan AFC Bawah 19 tahun 2020 yang akan bermula pada 2-10 November di Phnom Penh, Kemboja.

 

Kredit foto: NFDP / Uwais Qarni

Comments