Akmal Rizal : Jadikan Syafiq Ahmad pemain no.9, Azam sebagai ‘back-up’

Muhammad Aiman Muhammad Aiman

Bekas penyerang skuad kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli berpendapat ketiadaan pemain yang klinikal di posisi ‘nombor 9’, iaitu penyerang utama adalah kelemahan yang perlu segera diatasi pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe selepas kekalahan terbaru 0-1 kepada Vietnam dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Hanoi pada Khamis.

Cheng Hoe berterusan menyandarkan harapan kepada pemain veteran Norshahrul Idlan Talaha untuk mengisi posisi itu, adakalanya menjadi tetapi banyak kali tidak membuahkan hasil, justeru Akmal Rizal yang pernah beraksi di Liga Perancis bersama FC Strasbourg berharap Cheng Hoe bijak mencari solusi, antaranya memberikan peranan tersebut kepada penyerang meningkat naik Syafiq Ahmad.

“Secara keseluruhan kita bermain dengan baik (menentang Vietnam). Bahagian pertahanan menunjukkan peningkatan dengan kehadiran Aidil (Zafuan Abd Razak).

“Ramai mengkritik Halim Saari yang digandingkan dengan Brendan Gan di tengah. Memang diakui dia kelihatan agak gugup tapi Halim masih mampu melaksanakan tugas diberikan Cheng Hoe kepadanya.

“Sebaliknya, perhatian perlu lebih diberikan kepada barisan serangan terutama untuk posisi sebagai pemain nombor 9. Mat Yo (Norshahrul) kurang menyerlah dalam peranan itu dan sudah sampai masanya Cheng Hoe mencuba pemain lain.

“Memang kita tidak mempunyai banyak pilihan tapi berdasarkan pemain yang ada dalam skuad sekarang, saya melihat Syafiq Ahmad adalah calon yang layak. Syafiq seorang pemain yang pantas, berani dan rajin serta memiliki penyudah yang baik. Mungkin (Nor) Azam Azih boleh diletak sebagai ‘back up’ kepada Syafiq.

“Seorang lagi pemain yang boleh dipertimbangkan untuk memainkan peranan nombor 9 adalah Shahrel Fikri (Md Fauzi),” ujar Akmal Rizal kepada Labola Malaya.

Sebagai rekod, Syafiq Ahmad sebelum ini mencuri tumpuan apabila dia meledak jaringan penyamaan ketika menentang Indonesia dalam aksi sulung pusingan kelayakan, dan kemudiannya menjaringkan gol seawal minit pertama ketika menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Pada 5 Oktober lalu, pemain Johor Darul Takzim itu menjaringkan hatrik pertama dalam kariernya ketika membantu Malaysia menewaskan Sri Lanka 6-0 dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Foto : Johor Southern Tigers

Comments