Bermain hanya di Sukan SEA bukan bermaksud Wan Kuzain tak patriotik

Muhammad Aiman Muhammad Aiman

Biarpun menyuarakan hasrat mahu menyarung jersi Malaysia hanya di temasya Sukan SEA, itu tidak bermakna Wan Kuzain Wan Kamal tidak mempunyai semangat patriotik atau kenegaraan.

Demikian tegas Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam.

Bapa kepada Wan Kuzain sebelum ini memberitahu pemain itu mengimpikan untuk bermain di Piala Dunia dan mahu merebut tempat dalam skuad senior Amerika Syarikat, tetapi tiada masalah untuk membantu perjuangan pasukan kendalian Dato’ Ong Kim Swee di Sukan SEA 2019 kerana ketika itu saingan Major League Soccer (MLS) sedang berehat.

Ia sekaligus mengundang kritikan kerana ramai berpendapat Wan Kuzain hanya mahu menggunakan Sukan SEA untuk menjaga kecergasan dan tidak akan memberi sepenuh komitmen, justeru mencadangkan satu slot dalam senarai akhir lebih wajar diberikan kepada pemain yang benar-benar bermain kerana cintakan negara serta boleh menjadi ‘milik kekal’ Harimau Malaya.

Bagi Stuart, pertikaian itu sepatutnya tidak timbul kerana kesediaan pemain Sporting Kansas City itu untuk bermain dengan skuad Sukan SEA itu sendiri dilihat sebagai bukti dia mahu menyumbangkan sesuatu kepada Malaysia manakala bermain di Piala Dunia pula adalah menjadi impian setiap pemain professional.

“Kita tidak boleh kata dia tidak patriotik hanya kerana dia tidak mahu bermain dengan skuad senior, dia masih muda jadi dia melihat Sukan SEA sebagai peluang terbaik menyerlahkan potensi di kejohanan peringkat bawah umur.

“Impian jangka panjang dia bermain di Piala Dunia sudah tentunya peluang dia bermain di pertandingan itu lebih besar jika dia bersama Amerika Syarikat. Ia bukan mengenai semangat kenegaraan atau patriotik, tetapi mengenai keinginan. Tiada masalah di situ, jika dia dipilih dalam skuad Sukan SEA, semua percaya dia akan berikan komitmen terbaik,” ujar Stuart kepada Foxsports.

Temasya Sukan SEA dijadual berlangsung dari 30 November hingga 11 Disember depan dengan Malaysia membawa misi merampas pingat emas yang kali terakhir dimenangi pada 2011. Pada edisi 2017 di laman sendiri, skuad negara tewas di final kepada Thailand.

 

 

Comments