Jaga emosi dan disiplin, Malaysia semakin dipandang tinggi

Muhammad Aiman Muhammad Aiman

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Mohd Amin mengakui kejayaan dilakar skuad B-15 negara dengan menjuarai Kejuaraan AFF pada bulan lalu, menjadikan mereka semakin dipandang tinggi oleh pesaing-pesaing lain.

Justeru, menjelang berlangsungnya Pusingan Kelayakan Kejuaraan AFC B-16 2020 pada 18-22 September ini di Laos, Hamidin
mengingatkan barisan pemain muda negara supaya fokus, bijak mengawal emosi dan disiplin bagi mengekalkan konsistensi.

“Sememangnya di usia begini kita lebih mementingkan pembangunan berbanding kemenangan tetapi penting juga untuk kita kekal konsisten. Jadi kena jaga semua itu dan terus bekerja keras, lipatgandakan usaha dan komitmen.

“Saya yakin ramai yang akan memandang kita sebagai pesaing hebat maka pastinya mereka mahu menundukkan kita.┬áMaka penting untuk kita berusaha lebih gigih dengan menumpukan sepenuh perhatian pada kejohanan dan sentiasa patuhi arahan jurulatih,” kata Hamidin pada majlis meraikan skuad kendalian jurulatih P. Maniam ini sebelum berlepas ke Laos, Jumaat nanti.

Majlis keraian makan malam itu berlangsung di kediaman Naib Presiden FAM yang juga merangkap pengurus pasukan, Dato’ S Sivasundaram.

Skuad B-15 pada bulan lalu menjulang Kejuaraan AFF dengan bangkit menundukkan Thailand 2-1 menerusi jaringan Izrin Ibrahim dan Nabil Qayyum pada minit akhir perlawanan, sekaligus mengesahkan kejuaraan kedua selepas pertama kali melakukannya pada 2013.

Di Pusingan Kelayakan Kejuaraan AFC B-16 2020 nanti, Malaysia diletakkan dalam Kumpulan J bersama-sama Jepun, Kemboja dan Laos.

Sebagai rekod, Malaysia tidak pernah gagal melayakkan diri ke pusingan akhir Kejuaraan AFC yang menawarkan tiga slot bermain di Piala Dunia B-17 sejak tiga edisi lalu termasuk 2018 yang berlangsung di tempat sendiri.

Foto : FAM

Comments