Hampir kejutkan UAE, Hamidin yakin Harimau Malaya akan bangkit lebih garang

Muhammad Aiman Muhammad Aiman

Harimau Malaya membuatkan Emiriah Arab Bersatu (UAE) berhempas pulas untuk melakar kemenangan 2-1 dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Kelayakan Piala Asia 2023 pada Selasa, dan ternyata aksi bertenaga ditampilkan cukup mengujakan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin.

“Kita hampir melakar kejutan sebentar tadi (semalam), diharap skuad Harimau Malaya menjadikan kekalahan dengan UAE 2-1 ini sebagai pembakar semangat untuk bangkit semula di Hanoi 10 Oktober nanti.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, kita memulakan kempen dengan langkah kanan apabila berjaya menewaskan Indonesia 3-2 di gelanggang lawan pada 5 September lalu maka tidak mustahil untuk kita bangkit semula menentang Vietnam.

“Namun perlu diingat bukan mudah untuk mengekalkan momentum kemenangan konsisten, lantaran itu pemain perlu sentiasa mengikut taktikal permainan jurulatih serta paling utama kekal fokus.

“Apapun kombinasi serta persefahaman yang baik telah dipamerkan pemain dan diharap pemain terus bermain dengan semangat juang yang tinggi, demi lencana didada. Diharap penyokong terus memberi sokongan padu kepada pemain negara,” kata Hamidin.

Pada perlawanan di hadapan lebih 30,000 penyokong itu, Malaysia membuatkan UAE terkesima seawal minit pertama setelah Syafiq Ahmad menanduk masuk hantaran Matthew Davies.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe mempunyai sekurang-kurangnya tiga lagi peluang menambah jaringan menerusi Matt Davies, Syafiq dan Norshahrul Idlan Talaha namun dihampakan ketumpulan penyudah tatkala UAE yang sesekali menyerang berjaya mendapatkan gol penyamaan menerusi tandukan Ali Ahmet Mabkhout.

UAE berjaya merebut pendahuluan menerusi penyudah Ali Mabkhout yang memanfaatkan kesilapan pertahanan pada minit ke-68 dan jaringan itu bertahan sehingga tamat perlawanan.

Selepas ini pasukan negara akan terbang ke Hanoi untuk menentang Vietnam pada 10 Oktober dan kemudiannya melayan kunjungan Thailand di Stadium Nasional pada 14 November.

Foto : FAM

Comments