UAE hampakan Malaysia, Thailand rampas teraju Kumpulan G

Muhammad Aiman Muhammad Aiman

Emiriah Arab Bersatu (UAE) bangkit daripada ketinggalan gol awal untuk menewaskan Malaysia 2-1 dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Kelayakan Piala Asia 2023 tatkala teraju Kumpulan G diambil alih Thailand yang membelasah Indonesia 3-0 dalam satu lagi aksi.

Ianya Malaysia yang terlebih dahulu melakar kejutan apabila Syafiq Ahmad menceriakan lebih 30,000 penyokong di Stadium Nasional Bukit Jalil seawal minit pertama dengan menanduk masuk hantaran lintang Matthew Davies, menewaskan Khalid Eisa Bilal di gawang UAE.

Gol awal itu nyata membakar semangat Harimau Malaya yang mendominasi permainan dan mencipta gerakan demi gerakan berbahaya, malah mempunyai sekurang-kurangnya tiga lagi peluang menambah jaringan menerusi Matt Davies, Syafiq dan Norshahrul Idlan Talaha namun dihampakan ketumpulan penyudah.

UAE yang sesekali menyerang beroleh peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan menerusi percubaan Ali Ahmet Mabkhout namun ketika dia hanya berdepan Farizal Marlias, rembatannya terkena kaki penjaga gol Johor Darul Takzim itu dan sekadar singgah di tiang gol.

Gol penyamaan yang dicari UAE bagaimanapun menjelma pada minit ke-43 apabila kesilapan Shahrul Saad yang tidak mengawal Ali Mabkhout membolehkan pemain itu melompat tinggi menanduk masuk hantaran Mohamed Salleh, tatkala Farizal tidak mampu berbuat apa-apa.

Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan bermula perlahan dan aksi tidak serancak babak pertama, malah tidak banyak gerakan berbahaya dapat disaksikan.

Kemasukan J.Parthiban dan Syamer Kutty Abba juga tidak banyak membantu Harimau Malaya untuk tampil lebih bertenaga sebaliknya UAE yang berjaya merebut pendahuluan menerusi penyudah Ali Mabkhout yang memanfaatkan kesilapan pertahanan.

Kemenangan membolehkan UAE melonjak ke tangga kedua dengan tiga mata manakala Malaysia jatuh ke tangga ketiga menerusi beza jaringan.

Sementara itu, aksi di Stadium Utama Gelora Bung Karno menyaksikan dua jaringan Supachok Sarachat dan satu gol Theerathon Bunmathan membantu Thailand mennghadiahkan kekalahan kedua berturut-turut kepada Indonesia.

Thailand yang seri tanpa jaringan menentang Vietnam pada aksi sulung menerajui Kumpulan G dengan empat mata.

Foto : FAM

Comments