Buktikan penyokong Harimau Malaya lebih beradab, lebih bertamadun!

Muhammad Aiman Muhammad Aiman

Malaysia akan menerima kunjungan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam aksi kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa.

Pastinya keyakinan dan motivasi para pemain berada di tahap tertinggi selepas menang aksi sulung menentang Indonesia tempoh hari, dan semua mengharapkan satu kualiti permainan lebih baik akan ditunjukkan Harimau Malaya menentang UAE nanti.

Dengan penyokong masih lagi dalam mood ceria dan terbuai susulan kemenangan ke atas Indonesia, berpuluh ribu penyokong dijangka membanjiri Stadium Nasional untuk meminjamkan suara dan memberi sokongan kepada perjuangan Harimau Malaya dalam aksi pertama di laman sendiri, menentang pasukan yang pernah mengaibkan kita 0-10 empat tahun lalu.

Mungkin ianya tidak akan menjadi sehebat kebanjiran penyokong dan suasana disaksikan di Stadium Utama Gelora Bung Karno ketika Malaysia tewaskan Indonesia 3-2 tetapi seramai manapun ‘ekor’ Harimau Malaya yang hadir, jaga tingkah laku, jaga adab dan tontonlah perlawanan dengan semangat kesukanan yang tinggi.

Jika penyokong Indonesia meraikan kedatangan penyokong kita dengan balingan batu, serta pelbagai objek lain termasuk air kencing semasa dan selepas perlawanan berlangsung sehingga ada yang mengalami kecederaan, jangan sesekali penyokong Harimau Malaya menunjukkan sikap yang tidak bertamadun seperti itu, bukan sahaja kepada penyokong Indonesia tetapi mana-mana penyokong pasukan lawan.

Sama ada menang atau kalah, raikan kedatangan mereka dengan penuh keterbukaan, buktikan Malaysia mempunyai antara kumpulan penyokong yang terbaik di rantau Asia, tunjukkan kepada semua kita bukan kumpulan penyokong yang datang ke stadium sekadar untuk bersorak kerana menang dan membuat kacau, menimbulkan huru hara apabila tewas.

Sepertimana kata-kata Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia, Dato’ Hamidin Mohd Amin, “Tiada guna kita mengkritik penyokong Indonesia jika kita mahu menunjukkan satu tingkah laku yang sama, tiada bezanya kita dan mereka jika kita juga menjadikan padang bola sebagai gelanggang rusuhan. Bolasepak adalah medium penyatuan, bukan untuk mencari musuh.

“Sudah tentu insiden-insiden seperti mana di Gelora Bung Karno adalah sesuatu tidak dijangka, jadi di pihak FAM sendiri akan berusaha sebaik mungkin dalam aspek kawalan keselamatan dan mengikut semua prosedur ditetapkan FIFA. Saya percaya penyokong Harimau Malaya semuanya cukup matang, dan tidak akan buat sesuatu yang mencemarkan nama Malaysia.”

Ayuh ekor Harimau Malaya, jaga tingkah laku, elak provokasi dan jadilah sebahagian kekuatan pasukan. Biarlah Malaysia dikenali kerana budi pekerti yang baik, bukan kerana sebab yang tidak diingini.

Comments