Pengalaman di Indonesia akan jadikan Harimau Malaya lebih kuat

Muhammad Aiman Muhammad Aiman

Pemain tengah Brendan Gan percaya kekuatan mental dan semangat berpasukan ditunjukkan ketika Malaysia bangkit menewaskan Indonesia di hadapan kira-kira 60,000 penyokong mereka di Stadium Utama Gelora Bung Karno pada Khamis lalu, akan menjadikan Harimau Malaya lebih kuat sebagai satu pasukan.

Mengakui teruja dapat membantu Harimau Malaya menterbalikkan keputusan, Brendan berkata, “Ia sentiasa sesuatu yang sukar untuk beraksi di stadium yang penuh ditambah pula penyokong Indonesia sentiasa ‘boo’ kami sepanjang masa.

“Tetapi ia pengalaman yang hebat, kami tidak tunduk kepada serangan dan provokasi mereka. Ketika mereka fikir motivasi dan keyakinan kita akan runtuh, ketika itulah kita menunjukkan kerjasama sepasukan yang lebih utuh berbanding biasa. Ia satu semangat luar biasa, dua kali kami bangkit, dan tidak berputus asa mencari gol kemenangan.

“Kemenangan ini hadiah untuk seluruh penyokong, hadiah untuk diri saya sendiri kerana di gelanggang yang sama ini tiga tahun lalu saya mengalami kecederaan ACL (anterior cruciate ligament) dan tersisih lama dari pasukan kebangsaan.

“Ia memberikan saya lebih tenaga dan keyakinan, saya percaya ia memberikan Harimau Malaya lebih tonik dan kekuatan untuk mengharungi aksi mendatang,” kata Brendan yang membentuk gandingan mantap bersama pemain Pahang Nor Azam Azih di bahagian tengah.

Pada perlawanan sulung Kelayakan Piala Dunia 2022/Kelayakan Piala Asia 2023 yang berlangsung tegang itu, Indonesia merebut pendahuluan pada minit ke-11 menerusi Alberto Goncalves namun Malaysia menyamakan kedudukan menerusi pemain gantian Mohamadou Sumareh pada minit ke-36.

Goncalves sekali lagi meledak seminit kemudian untuk tuan rumah mendahului 2-1 di separuh masa pertama sebelum tandukan Syafiq Ahmad kembali mengikat kedudukan 2-2 pada minit ke-66 dan Sumareh memastikan tiga mata buat Harimau Malaya pada masa kecederaan.

Skuad negara yang sedang menerajui Kumpulan G akan berdepan Emiriah Arab Bersatu dalam aksi kedua pada 10 September ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Kita ambil segala aspek positif daripada perlawanan menentang Indonesia dan hadapi UAE dengan tenang. Pertembungan dengan UAE tidak sama seperti Indonesia dan ia boleh jadi sangat sukar, tetapi kita tidak rugi apa-apa dan kita akan memberikan yang terbaik,” kata pemain pemain tengah Perak itu.

Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia dan UAE bertemu, Malaysia tewas 1-2.

Comments