Stuart : Indonesia gagal kotakan janji, FAM akan lapor kepada AFC, FIFA

Muhammad Aiman Muhammad Aiman

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam mengesahkan badan induk itu akan membuat laporan mengenai insiden rusuhan penyokong Indonesia di Stadium Utama Gelora Bung Karno selepas berakhirnya perlawanan menentang Malaysia pada Khamis, kepada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Sambil meluahkan rasa kecewa kepada Persatuan Bolasepak Indonesia (PSSI) yang gagal mengotakan janji mereka terhadap jaminan keselamatan yang diberi tempoh hari, Stuart turut menyelar sikap sambil lewa yang ditunjukkan pihak berkuasa tempatan di dalam mengawal tingkah laku ganas penyokong mereka.

“Semangat kesukanan dan sikap professional telah dipamerkan oleh pemain dan pegawai kedua-dua negara, tetapi malangnya perlawanan dicemari oleh insiden di luar padang.

“FAM anggap negara jiran kita, Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI), melalui pihak kuasa tempatan gagal menjangkakan insiden yang telah berlaku justeru gagal mengotakan janji yang diberikan mereka secara umum untuk perlawanan ini, dan juga gagal mengawal sikap penyokong sama ada sebelum, semasa mahupun selepas perlawanan berlangsung sekaligus mencemarkan imej bola sepak Indonesia.

“Memandangkan FAM dan PDRM tidak mempunyai bidang kuasa di Indonesia, kami mengambil inisiatif untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan melalui dua mesyuarat bertarikh 20 Ogos dan 27 Ogos 2019 yang turut dihadiri oleh Timbalan Komander Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), ACP Kamarulzaman Maarof, sebagai persiapan langkah keselamatan yang diperlukan untuk  perjalanan penyokong negara.

“Walaupun disediakan polis pengiring dari lapangan terbang ke stadium dan sebaliknya khusus untuk kira-kira 300 penyokong dalam 6 bas, keadaan tetap menjadi huru-hara dan kami berasa amat kecewa dengan jawatankuasa pengelola tempatan berikutan kegagalan mereka menunaikan janji serta persefahaman yang dicapai.

“Tidak ada tempat dalam sukan bola sepak untuk gejala hooliganisme dan gangsterisme dan oleh itu, kami telah membuat keputusan untuk mengambil tindakan dan sedang mengumpul bukti kukuh bagi melaporkan kejadian semalam kepada FIFA dan AFC,” ujar Stuart.

Pada aksi pembukaan Kumpulan G kelayakan Piala Dunia di hadapan kira-kira 60,000 penyokong itu, Malaysia melakar kemenangan dramatik 3-2 menerusi jaringan kemenangan lewat permainan Mohamadou Sumareh. Skuad negara sebelum itu dua kali bangkit menyamakan kedudukan menerusi Sumareh dan Syafiq Ahmad.

Malah, perlawanan juga terpaksa dihentikan beberapa minit di separuh masa kedua berikutan kekecohan ditimbulkan penyokong Indonesia dan ia bertambah buruk selepas perlawanan berakhir apabila penyokong Malaysia dibaling oblek, batu dan juga air kencing sehingga ada yang mengalami kecederaan dan dikejarkan ke hospital.

Sementara itu, Stuart mewakili FAM menasihatkan penyokong Malaysia yang masih berada di Indonesia menjaga keselamatan dan mendoakan mereka akan selamat selamat pulang ke Malaysia.

“Elakkan sebarang bentuk provokasi yang boleh menyebabkan kemudaratan kepada diri sendiri mahupun rakyat Indonesia.

“Penyokong Malaysia secara umumnya dilihat bertindak balas secara positif malam tadi dan tidak mengikut sebarang provokasi.  Lantaran itu, kami nasihatkan anda untuk kekal sabar dan terus menghormati penyokong luar ke negara kita – sama ada peminat Indonesia, UAE, Thailand atau Vietnam  terhadap semua perlawanan yang akan berlangsung di Stadium Nasional nanti,” tambah Stuart.

Perlawanan seterusnya, Malaysia akan berdepan Emiriah Arab Bersatu di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 September ini.

Foto kredit  : Adam Ghazali

Comments